PADA 2010 MAZDA BONGO NAIK TARAF DILANCAR DI JEPUN
Apabila bercakap tentang van komersial atau sekolah biasanya model yang terlintas ialah Toyota Hiace. Selain itu ada lagi beberapa model misalnya Mazda Bongo.
Bongo masih banyak digunakan di atas jalan raya dan jika bernasib baik menemui versi lori recond yang diimport dari Jepun.
Di Jepun kali terakhir Mazda melancarkan Bongo Van dan Bongo Truck versi naik taraf ialah pada 20 Ogos 2010. Oleh itu pengguna tempatan yang memiliki versi recond tidak terlalu lama usianya.
Model Ogos 2010 dilengkapi enjin 1.8 liter DOHC baharu dengan kuasa dan tork lebih tinggi selain daripada prestasi dan penggunaan bahan api lebih baik.
Enjin itu mempunyai kuasa 102PS dan tork maksimum 147Nm. Penjimatan bahan api pula dari 10.2km/L kepada 11.0km/L manakala Bongo Truck dari 10.4km/L kepada 11.2km/L.
Pacuan pula ada dua jenis iaitu dua roda depan dan empat roda (4WD) untuk kedua-dua van dan lori.Pengguna juga mempunyai dua pilihan transmisi iaitu lima kelajuan manual dan empat kelajuan automatik EC-AT.
Bahagian dalam dipasang konsol tengah saiz besar di antara pemandu dan penumpang sisi. Ciri keselamatan ditambah baik dengan beg udara dan cermin berkuasa pada penumpang.
Untuk urusan kargo lebih baik, ketinggian panel sisi Bongo Truck dinaikkan sebanyak 45mm dan kapasiti bebanan ditingkatkan sebanyak 50kg disebabkan saiz cargo bed lebih panjang (varian single wide-low).
Dari segi harga, Bongo Van dipasarkan (MSRP) dari JPY1,722,000 hingga JPY1,991,850 untuk model 2WD dan dari JPY,964,550 hingga JPY2,229,150 untuk model 4WD.
Harga Bongo Truck pula dari JPY1,587,600 hingga JPY1,759,800 untuk model 2WD dan JPY1,859,550 hingga JPY 2,005,500 untuk model 4WD.
- BACA: PADA 2006 MAZDA8 DIPERKENAL DI JEPUN, DI MALAYSIA PADA 2008
- BACA: MAZDA3 TCR, 2.0L TURBO 350 BHP!
- BACA: PADA 2005, MAZDASPEED ATENZA DIPERKENAL, ENJIN 2.3L TURBO PACUAN AWD