Buletin

PAMERAN TERBESAR ROLLS-ROYCE PHANTOM DI DUNIA BAKAL DIANJURKAN PADA JULAI INI

Dalam masa sesetengah dari kita terasa kos sara hidup yang semakin meningkat, beberapa ekonomi negara luar seperti China dan Eropah nampak rancak berlangsung. Di antara indikatornya ialah prestasi jualan jenama premium seperti Mercedes-Benz, BMW dan Volvo yang meningkat gagah.

Selain daripada itu, pengeluar kenderaan ternama dunia pula seperti tiada rehat, melancarkan model baharu yang canggih bergaya silih berganti.

Ini pula contoh terbaru yang melibatkan pengeluar kenderaan mewah. Pada penghujung Julai nanti akan diadakan pameran Rolls-Royce The Great Eight Phantoms. Ia bakal menghimpunkan model Phantom dari 92 tahun lepas di Mayfair, London.

Sebenarnya himpunan ini turut bakal menjadi medan RR untuk mempekenalkan generasi baharu Phantom.

Selain daripada itu, bagi menghidupkan lagi pameran, RR akan mengadakan jelajah Phantom dari pelbagai lokasi seluruh dunia menuju ke London. Jelajah tersebut akan turut berkongsi kisah model ini dan momen sejarah yang pernah disaksikannya.

Kisah pertama dinamakan sebagai The Fred Astaire Phantom I.

Berikut ialah sejarah Rolls-Royce Phantom – Kereta terbaik dunia!

Phantom I – 1925

Generasi pertama iaitu Phantom I mula diperkenalkan pada 1925 dan khabarnya ia dibina dengan penuh rahsia. Nama projek ini ialah Eastern Armoured Car. Dek kerana nama tersebut, RR disangka bakal membina kenderaan ketenteraan yang digunakan pada Perang Dunia Pertama dan dipopularkan oleh Lawrence of Arabia.

Menariknya, bahagian daripada plet perisai ditinggalkan bersahaja di kilang bagi mengelirukan pesaing yang ingin meninjau projek rahsia apakah ini.

Selepas dikeluarkan, Phantom I menerima sambutan hangat. Tahukah anda berapa sesaran enjinnya?

7.668 liter bentangan sebaris enam silinder.

Apabila General Motors membuka trek ujian di Michigan tiada satu pun kereta yang berjaya menghabiskan dua pusingan penuh litar berjarak 6.4 km itu tanpa menjahanamkan enjin. Phantom pula berjaya melaluinya dengan bergaya dan lebih manis pada kelajuan 128 km/j tanpa sebarang kegagalan.

Phantom II – 1929, Sejarah bermula

Kata-kata Sir Henry Royce yang terkenal ialah “Cari perkara yang terbaik dan jadikan ia lebih baik”. Kenyataan itu mendorong RR mengeluarkan Phantom II dan menariknya pada 1929 – hanya empat tahun selepas generasi pertama.

Walaupun pada tahun 1929 namun generasi kedua Phantom bukan setakat melibatkan perubahan bamper atau lampu sahaja malah ia tampil dengan casis serba baharu yang turut menambah baik pengendalian dan juga enjin yang direkabentuk semula.

Phantom III – 1935, Perang dunia kedua

Phantom III pula adalah episod yang sedih buat RR apabila ini adalah projek terakhir Sir Henry Royce. Beliau meninggal dunia pada 1933 dalam usia 70 tahun. Beliau pergi kira-kira 12 bulan sebelum pembangunan Phantom III berjalan.

Model ketiga ini walaupun yang terakhir buat Sir Henry namun ia tampil gah. Ia diperkenalkan pada tahun 1935 dan dikuasakan oleh enjin 12 silinder. Ia mula dibina dari tahun 1936 hinggalah kepada casis terakhir pada 1941. Namun peperangan dunia kedua turut menggangu perjalanan kereta hebat ini dan ia senyap tanpa apa-apa perubahan sehingga tahun 1947.

Phantom IV – 1950, Khas untuk kerabat diraja

RR bangkit semula. Pada tahun 1950, Phantom IV dikeluarkan dan lebih menarik ia sepatutnya projek khas untuk kegunaan Putera Philip dan Puteri Elizabeth sahaja. Namun selepas dipertontonkan, 17 buah lagi Phantom IV dikeluarkan secara eksklusif untuk kerabat diraja dan ketua-ketua negara di seluruh dunia.

Ia dikuasakan oleh enjin lapan silinder sebaris dan mampu bergerak sempurna dalam kelajuan perlahan – ciri yang penting memandangkan model ini turut digunakan untuk acara keraian dan perbarisan rasmi.

Phantom V – 1959, John Lennon!

Phantom V pula dikeluarkan di antara tahun 1959 hingga 1968. Ia dikeluarkan sebanyak 516 unit yang turut dimiliki oleh individu ternama seperti the Queen Mother (Ibunda permaisuri Elizabeth II), gabenor Hong Kong, Raja Olav dari Norway dan menariknya turut dipunyai oleh penyanyi terkenal, John Lennon.

Phantom VI – 1968, Silver Jubilee Car

Phantom VI pula adalah model yang paling lama bertahan. Ia mula diperkenalkan dari tahun 1968 sehingga ditamatkan pada tahun 1990. Model itu terus menjadi kegemaran kerabat di raja dan  RR sendiri turut mengeluarkan edisi Silver Jubilee Car sebagai hadiah daripada industri automotif British kepada Permaisuri Elizabeth II pada 1977 sempena sambutan jubli perak beliau memegang takhta.

Model istimewa itu turut digunakan semasa majlis perkahwinan Duke dan Duchess Cambridge.

BACA: ROLLS-ROYCE SWEPTAIL – KERETA BARU PALING MAHAL DI MUKA BUMI, RM54.6 JUTA!

BACA: JAMES MAY JUAL ROLLS-ROYCE CORNICHE KERANA ALAHAN

Phantom VII – 2003, Era moden

Setelah lama tiada pengganti, Phantom VII diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2003 di Goodwood, Sussex. Model itu tampil dengan rekaan kontemporari namun masih mengekalkan warisan Phantom.

Model baharu itu juga berkuasa, enjinnya bersesaran 6.75 liter dengan bentangan V12, ia mempunyai output 453 bhp dan mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 5.9 saat sahaja. Walaupun berprestasi ia tetap selesa dengan kelengkapan yang serba mewah sesuai mengikut citarasa pelanggan sasaran RR.

Setelah 13 tahun Phantom VII berada dalam pasaran, pengeluarannya sampai ke penghujung dan akhirnya ditamatkan pada penghujung 2016.

Menjelang akhir Julai nanti, dunia bakal disajikan dengan satu lagi tahap kemewahan tinggi.. Phantom VIII.

Google ads
Back to top button