PANDU UJI TAYAR BFGOODRICH AT T/A KO2, PRESTASI LUAR BIASA OFFROAD
Pada awal bulan November lepas, penulis berpeluang untuk menyertai satu sesi pandu uji yang melibatkan tayar daripada jenama BFGoodrich yang melibatkan pelbagai genre tayar. Bertempat di Khao Yai National Park, penulis berpeluang menguji kesemua tayar yang disediakan daripada jenama BFGoodrich.
Antaranya ialah BFGoodrich Trail Terrain T/A, BFGoodrich All-Terrain T/A KO2, BFGoodrich Mud-Terrain T/A KM3, BFGoodrich Advantage Touring dan juga BFGoodrich g-Force Phenom. Bagi tayar BFGoodrich Trail Terrain T/A, penulis berpeluang memandu uji jentera Ford Ranger di laluan berlumpur khas yang disediakan.
Di sini, BFGoodrich Trail Terrain T/A menunjukkan keupayaannya merentasi lalun berlumpur dengan mudah. Ini kerana tayar ini direka khas untuk pemandu yang banyak menghabiskan masa di jalan raya dan sesekali akan menggunakan kenderaan mereka di laluan offroad.
Bagi laluan yang lebih mencabar, BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 adalah lebih sesuai untuk jentera 4×4, 4×2, SUV atau kenderaan pikap yang memerlukan cengkaman yang lebih bagus bagi merentasi laluan dan permukaan jalan offroad yang lebih mencabar.
Bagi menguji kemampuan tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 ini, penulis dibawa ke Khao Yai Tieng, sebuah destinasi pergunungan dengan ketinggian mencecah hampir 650 meter dari aras laut dengan menggunakan kenderaan SUV Mitsubishi Pajero Sport dengan ditemani oleh seorang pemandu arah Thailand.
Apabila bergerak ke Khao Yai Tieng dari Khao Yai, pemandu arah tempatan kami mengambil alih tugas memandu dan memberikan peluang kepada penulis untuk menilai keupayaan tayar ini di atas permukaan lebuh raya. Perkara pertama yang penulis perasan ialah tayar ini lebih senyap dengan sedikit sahaja bunyi tayar kedengaran masuk ke kabin pada halaju tinggi
Tayar ini juga menunjukkan keupayaan dan cengkaman yang bagus ketika pemandu uji kami mengambil selekoh dengan laju dan mencelah kenderaan lain untuk kekal dalam formasi konvoi. Malah ketika beberapa kali brek mengejut dilakukan, jarak pemberhentian Pajero Sport kami adalah pendek dengan tayar tidak terseret.
Cabaran bermula dengan Mitsubishi Pajero Sport kami mulai memasuki jalan mendaki selorong dan jalan tersebut digantikan dengan tanah merah dan juga batu kerikil. Proses pendakian ini melibatkan 3 fasa pemanduan dan juga ujian
Pada ketika ini penulis memerhatikan keupayaan tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 menyerap gegaran daripada permukaan jalan tidak rata dan pada masa sama mengekalkan cengkaman pada permukaan jalan yang bertanah merah dan berbatu
Untuk fasa kedua, jentera Pajero Sport ini perlu melalui beberapa lubang yang agak dalam dan berlumpur bagi menguji cengakaman tayar di permukaan tanah berselut. Pada hemat penulis, sepatutnya ujian ini perlu dilakukan dengan menggunakan tayar Mud Terrain.
Tapi tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 membuktikan ia cukup bagus untuk melalui jalan berlubang dan berlumpur. Bagi fasa ketiga ujian, tayar ini diuji untuk mendaki laluan berbatu tajam dan permukaan jalan yang sedikit basah. Sekali lagi tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 membuktikan ia boleh melalui halangan dengan mudah dan tayar ini langsung tidak tersopek
Secara peribadi penulis merasakan tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 adalah sangat berupaya untuk jalan offroad samaada berlumpur ataupun berbatu. Rekaan blok bunga pada permukaan dan sisi tayar menggunakan teknologi Locking 3D Sipes bagi laluan offroad, berlumpu, berbatu dan juga bersalji.
Malah getah tayar BFGoodrich All-Terrain T/A KO2 termasuk pada bahagian sidewall direka khusus untuk menangani masalah kebocoran. Bahagian sisi tayar dibuat dengan tebal bagi melindungi teras tayar manakala bahagian sisi boleh memesongkan sebarang batu atau objek tajam daripada merosakkan bahagian sisi tayar
BFGoodrich memberi jaminan tayar ini boleh bertahan sehingga 50,000km dalam semua keadaan cuaca dengan rekaan bantuan agihan berat tayar yang sekata menjadikan kehausan tayar adalah minima. Tayar ini disediakan dalam 67 saiz bermula dari saiz 15 inci sehinggalah 22 inci