Pandu Uji

PANDU UJI: TAYAR CONTINENTAL ULTRACONTACT UC6 & CC6 DI CHINA

Sehari selepas pelancaran tayar terbaharu Continental Generation 6 iaitu UltraContact UC6 dan ComfortContact CC6 di Zhejiang, China baru-baru ini, saya berpeluang untuk menguji kehebatan tayar-tayar tersebut di litar.

Bagi melancarkan perjalanan pandu uji, para wartawan dibahagikan kepada enam kumpulan berbeza berdasarkan huruf A hingga F. Kami semua perlu melalui enam stesen berbeza yang direka untuk menguji dan memahami tayar UltraContact UC6 dan ComfortContact CC6 secara lebih komprehensif.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (4)

Saya dimasukkan ke dalam kumpulan F bersama-sama sekumpulan wartawan dari China yang lain. Kumpulan kami memulakan ujian di Stesen 6. Di sana, kami diberi taklimat mengenai kecanggihan teknologi Jerman dalam menghasilkan tayar berkualiti tinggi.

Antara perkara yang disentuh ialah bagaimana Continental berkembang sebagai sebuah jenama yang bukan sahaja menghasilkan tayar, tetapi turut melibatkan pelbagai teknologi tinggi lain.

Buktinya, sebelum pergi ke stesen 1, kami sempat menguji sistem kemasukan tanpa kunci yang sedang dibangunkan oleh Continental. Sistem yang dikenali sebagai Passive Start & Entry Gen IV itu dipasang pada sebuah SUV buatan China, Trumpchi GS5.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (12)

Tidak jauh bezanya dengan sistem kemasukan pintar yang lain, ia membolehkan pemandu mengunci dan membuka pintu kenderaan dari jarak jauh. Tanpa perlu mengeluarkan kunci daripada poket. Ia juga memudahkan pengguna kerana boleh membuka but belakang, terutama ketika tangan penuh dengan barang-barang.

Kemudian, kami beralih ke teknologi lebih canggih yang diuji pada sedan Qoros 3. Secara ringkasnya, sistem itu membolehkan pengguna untuk membuka dan mengunci kenderaan menggunakan aplikasi pada telefon pintar.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (13)

Bukan itu sahaja, ia juga berfungsi untuk memudahkan pemandu mengoperasikan sistem navigasi dalam kenderaan. Selepas melihat demonstrasi sistem tersebut beberapa kali, saya perlu akui bahawa ia memang canggih dan jelas dapat membantu memudahkan perjalanan pemandu.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (14)

Stesen 1: Ujian Keselesaan 

Di stesen ini, kami diberi peluang untuk menilai sendiri tahap keselesaan yang mampu ditawarkan oleh tayar ComfortContact CC6. Dipasang pada Toyota Altis, saya perlu memandu melalui beberapa permukaan jalan yang berbeza seperti berombak dan kasar.

Apabila dibandingkan dengan tayar jenama lain, memang jelas bahawa tayar ini memberi keselesaan yang ketara. Ruang kabin kereta jauh lebih senyap. Malah getaran pada stereng juga berkurang dengan signifikan.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (15)

Stesen 2: Ujian Bunyi Bising

Ujian ini ringkas sahaja. Saya hanya perlu duduk sebagai penumpang hadapan dan perlu melalui satu dinding yang dibina khas. Masuk ke kereta yang dipasang dengan tayar jenama pesaing, bunyi berdengung dapat didengar dengan jelas apabila melewati dinding tersebut.

Tetapi, apabila menaiki kereta yang menggunakan tayar ComfortContact CC6, keadaan dalam kabin kereta memang senyap. Itu dengan cermin tingkap diturunkan. Kalau dinaikkan, mesti bunyi yang masuk ke dalam kabin adalah minima.

Kesenyapan itu hasil aplikasi prinsip “Helmholtz resonator”, di mana ciri Harmonic Comfort Chambers diletakkan pada bahagian dalam bunga tayar yang berfungsi menghilangkan frekuensi bunyi bising yang tidak diperlukan.

Selain itu, “Whisper Compound” pada CC6 pula menampilkan polimer yang mampu mengadaptsi permukaan kasar jalan raya, sekali gus mengurangkan bunyi bising tayar.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (7)

Stesen 3: Ujian Membrek di atas Pemukaan Basah

Ujian ini bertujuan menguji tahap cengkaman yang mampu ditawarkan oleh tayar UltraContact UC6. Setiap peserta perlu memandu pada kelajuan sekitar 40km/j sebelum menekan brek untuk menguji jarak berhenti kereta di atas jalan yang basah.

Selepas proses sama diulangi beberapa kali, jelas terbukti bahawa tayar UltraContact UC6 dapat berhenti sepenuhnya pada jarak 23.1 meter. Sedangkan tayar pesaing memerlukan jarak lebih jauh iaitu 26.7 meter.

Prestasi cemerlang itu disumbang oleh rekaan bunga tayar dengan ciri Aqua Drainage yang berperanan meningkatkan cengkaman dan mengurangkan masalah aquaplaning. Sudut lencongan pada bunga tayar juga berfungsi mengalihkan air bagi memastikan kenderaan dapat berhenti dalam jarak lebih dekat.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (2)

Stesen 4: Ujian Membelok di atas Pemukaan Basah

Ujian ini memerlukan semua peserta memandu dalam satu pusingan besar di atas permukaan yang basah pada kelajuan bawah 40km/j. Bermula dengan memandu kereta yang dilengkapi tayar pesaingnya, lama-kelamaan kereta rasa semakin membuang.

Tetapi, apabila bertukar kepada kereta yang dipasang tayar Continental  UltraContact UC6 rasa membuang itu begitu minimal. Terima kasih kepada ciri Adaptive Diamond Blend Compound, terdiri daripada polimer cengkaman dan perbatuan yang telah dipertingkatkan.

Jadi, tayar ini mampu memberi tahap cengkaman yang lebih meyakinkan ketika mengambil selekoh dan membrek.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (11)

Stesen 5: Ujian Membelok di atas Pemukaan Kering

Stesen terakhir ini memberi peluang kepada semua peserta untuk menguji keupayaan tayar Continental  UltraContact UC6 mengelak kon-kon yang disusun di atas litar. Jaraknya tidaklah jauh, tetapi cukup untuk mengetahui kemampuan tayar ini dalam tempoh yang singkat.

Pemanduan sebelah kiri juga tidak banyak menggangu konsentrasi, apatah lagi apabila saya diberi tunjuk ajar oleh seorang pemandu terlatih yang duduk di kerusi sebelah.

Hari yang panjang itu diakhiri dengan demonstrasi membrek dalam situasi cemas. Dua buah teksi masing-masing menggunakan tayar Continental  UltraContact UC6 dan satu jenama lain.

Continental-UltraContact-UC6-ComfortContact CC6-test-drive-mekanika (8)

Pemandu teksi berkenaan perlu membrek keras dan mengelak daripada melanggar satu patung bersama basikalnya. Seperti yang dijangka, tayar Continental  UltraContact UC6 mengotakan janjinya untuk berhenti dalam dalam jarak yang pendek dan lebih meyakinkan.

Kesimpulannya, tayar bukan sekadar ‘donut’ bulat berlubang yang berwarna hitam. Banyak teknologi diperlukan untuk menghasilkan tayar berkualiti tinggi, tahan lama dan mampu memberi ketenangan minda kepada penggunanya. Sebab itulah setiap generasi tayar baharu memakan masa sehingga lima tahun untuk dibangunkan.

Bak kata seorang saintis daripada Continental, menghasilkan tayar tidak jauh bezanya dengan membuat kek. Sukatan ramuannya perlu tepat, supaya kek tidak keras dan sedap dimakan.

Tags
Google ads
Back to top button