Buletin

PROJEK KERETA TERBANG TIDAK TELUS. TERIMA DANA KERAJAAN RM20 JUTA

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa projek kereta terbang mempunyai banyak masalah. 

Bukan itu sahaja, projek yang menjadi sebutan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof juga sebenarnya menerima suntikan dana daripada kerajaan berjumlah RM20 juta menerusi Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

MIGHT dilapor meluluskan pelaburan tersebut kepada syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB). Justeru, ia nyata bercanggah dengan dakwaan sebelum ini yang menyatakan projek kereta terbang adalah inisiatif swasta. 

PAC dalam satu kenyataan memberitahu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengesahkan dana tersebut disalurkan oleh VTSB (VentureTech Sdn. Bhd.) yang merupakan anak syarikat milik penuh MIGHT kepada AVSB pada 1 November 2019.

Mohd Redzuan dikatakan mengumumkan projek itu terlalu awal tanpa sebarang perancangan teliti. Beliau juga didakwa tidak memaklumkannya kepada kabinet dan ia bukanlah satu projek nasional seperti yang digembar-gemburkan selama ini.

“Ketika kerajaan masih belum melaksanakan sebarang pematuhan piawaian kewangan, hak milik intelek, kepakaran dan kapasiti pembangunan kereta terbang, menteri itu dilihat mempromosikan AVSB secara terbuka sejak Februari lalu. 

“Mohd Redzuan mendakwa syarikat itu menggunakan teknologi tempatan, sedangkan AVSB membangunkan prototaip  di Jepun kerana ia mempunyai ekosistem dan kemudahan membina kereta terbang. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan  MIGHT langsung tidak dirujuk dalam menentukan hala tuju pembangunan mobiliti udara.

“Malah, tiada undang-undang sedia ada berkaitan kawal selia dan penggunaan kapal terbang di Malaysia,” jelas laporan PAC. 

PAC kemudian mencadangkan enam bentuk penambahbaikan. 

  • Meminta Jabatan Akauntan Negara (JAN) mengaudit pelaburan RM20 juta itu. 
  • Menggesa VTSB memantau perbelanjaan yang dibuat oleh AVSB bagi memastikan dana berkenaan diguna bagi tujuan ia diluluskan, bukannya projek kereta terbang.
  • Kementerian Pembangunan Usahawan dinasihatkan supaya wujudkan kerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi lain. 
  • Pematuhan piawaian yang lengkap  perlu dilaksanakan sebelum sebarang pengumuman dan keputusan dibuat. 
  • Kertas Kabinet yang lengkap perlu dibentang dalam mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan bagi perkata yang membabitkan kepentingan awam dan negara  
  • Sesuatu projek perlu dikaji dan dirancang secara teliti sebelum dihebahkan bai mengelak persepsi negatif serta kritikan orang ramai. 

laporan asal: Astro Awani

Tags
Google ads
Back to top button