Buletin

TOYOTA DAN LEXUS PANGGIL SEMULA KERETA BAHARU DI AS UNTUK TUKAR ENJIN

Pelanggan yang membeli kereta Toyota atau Lexus baharu akan dipanggil semula.

Ini kerana enjin pada lebih 44,000 unit kereta dan SUV buatan tahun 2019 serta 2020 didakwa mungkin mengalami masalah overheat, mati atau terbakar.

Antara model yang terlibat di pasaran Amerika Syarikat itu termasuklah 2020 Toyota Camry, Toyota Camry Hybrid, Toyota Avalon Hybrid, sedan Lexus ES300h, 2019-2020 Toyota RAV4 dan RAV4 Hybrid.

Panggilan semula itu dibuat berikutan masalah pada blok enjin, di mana ruang pembakaran berlaku. Disebabkan oleh kesilapan pengilangan, cecair penyejuk atau minyak boleh bocor dan masuk ke dalam blok enjin. Ini akan menyebabkan enjin mati atau terbakar ketika dipandu.  

Pemandu mungkin akan melihat lampu amaran menyala, enjin berbunyi bising dan mengeluarkan asap.

Dalam satu kenyataan bertulis, Toyota mengumumkan bahawa 250 daripada 44,191 unit kenderaan yang dipanggil semula perlu diganti enjinnya. Namun, pengedar akan memeriksa nombor siri pada blok enjin untuk memastikan adakah ia termasuk dalam kumpulan kenderaan yang bermasalah.  

Masalah enjin itu bermula pada September 2019 di kilang Toyota di Tennessee yang bertanggungjawab menghasilkan blok enjin untuk Toyota dan Lexus. Ketika blok enjin dihasilkan, meter aliran air dikatakan rosak. Akibatnya, blok enjin berkenaan tidak disejukkan dengan sempurna dan membuatkannya retak.

Toyota menyedari masalah tersebut apabila mendapati cecair penyejuk enjin pada beberapa buah kenderaan baharu bocor.

Google ads
Back to top button