Motosikal

VESPA SEI GIORNI II EDITION. REKAAN KLASIK, ENJIN 300 HPE. RM34,500 SEUNIT

Didi Resources, pengedar rasmi jentera Piaggio di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Vespa Sei Giorni II Edition edisi terhad padaacara Vespa Day yang berlangsung di Tambun, Perak.

Nama Vespa Sei Giorni diambil daripada pencapaian hebat Vespa dalam pertandingan Sei Giorni Internazionale pada tahun 1951.

Ia dilihat sebagai antara model paling legend Vespa kerana berjaya memenangi 9 pingat emas.Model itu juga sering menjadi buruan para pengumpul.

Vespa Sei Giorni 2020 dikuasakan oleh enjin 300 HPE baharu. Enjin empat lejang bersesaran 300cc dengan sistem penyejukan cecair itu dilengkapi ciri pancitan bahan api elektronik yang menjanjikan kuasa dan penjimatan.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa sehingga 23.8hp dan tork 26Nm, naik 18 peratus berbanding enjin sebelumnya.

Gayaannya jelas menunjukkan reka bentuk Vespa klasik apabila lampu utama dengan mentol halogen diletakkan pada mudguard hadapan. Bahagian fairing dan bingkai panel instrument menerima kemasan tembaga, sama seperti Vespa GTS baharu.

Sifat sporty skuter itu diserlahkan lagi dengan pelana dengan jahitan dua lapisan, selain plat khas Vespa Sei Giorni II Edition. Bagi memberikan kualiti tunggangan yang mantap, Vespa Sei Giorni menggunakan kerangka aluminium aloi.  

Sebagai sebuah skuter moden, Vespa Sei Giorni 2020 didatangkan dengan ciri-ciri seperti port USB, lampu belakang LED dan brek ABS untuk kedua-dua roda.

Model itu didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 8.5 liter dan rim aloi 12 inci yang dibalut tayar tanpa tiub.

Jika berminat, model itu boleh anda miliki pada harga RM34,500. Anda juga akan menerima cermin hadapan, kotak penyimpanan barang 36 liter dan pendakap secara percuma.

Menarik kan…

GALERI

Google ads
Back to top button