
PEMANDU F1 BOLEH DIGANTUNG PERLUMBAAN JIKA MENGKRITIK FIA – MENCARUT LAGI TAK BOLEH
Nampaknya FIA sedang menjalani proses overhaul besar-besaran untuk musim 2025 ni dan banyak peraturan yang akan ditukar. Paling sensasi tentulah kebebasan bersuara yang akan dihadkan, menurut laporan akhbar Barat.

Permulaan musim 2024 menyaksikan penggunaan bahasa yang lebih ‘bersopan’ berbanding sebelumnya menerusi saluran radio pasukan. Ini berikutan arahan Presiden FIA, Mohamed Ben Sulayem yang mengarahkan supaya ayat-ayat mencarut dari mulut pemandu ditapis semasa siaran.
Malah pemandu terbabit, Max Verstappen dan Charles Leclerc telah dikenakan denda atas kesalahan tersebut. Ia memaksa campur tangan Grand Prix Drivers’ Association (GDPA) untuk campur tangan. Isu tersebut kemudian reda selepas beberapa bulan tapi kini hangat diperkatakan kembali.

Peraturan baharu menetapkan penggantungan satu bulan ditambah pemotongan mata kepada pemandu jika mencarut secara berulang-ulang ataupun mengkritik FIA. GDPA tidak mahu mengulas peraturan tersebut namun satu sumber yang rapat dengan pemandu-pemandu teratas menyatakan yang peraturan tersebut mengarut.
Sumber yang tidak mahu dikenali menyifatkan Ben Sulayem sebagai seorang diktator. Eleh cakap belakang berani la.
Bukan itu sahaja, jumlah denda dan penalti turut dinaikkan pada musim baharu ini untuk kesemua cabang perlumbaan di bawah naungan FIA. Ini termasuklah F1, WTC, WEC dan Formula E. Kesemua jumlah denda dinaikkan empat kali ganda berbanding sebelumnya.

Ini bermakna denda USD42,000 untuk kesalahan pertama, USD84,000 untuk kesalahan kedua ditambah satu bulan penggantungan. Kesalahan ketiga USD125,000 dengan sebulan penggantungan dan untuk kesalahan kali keempat, USD189,000 dan penggantungan 6 bulan dari perlumbaan. Fuh, keras beb.
Malah denda dan penalti ini bukan hanya boleh dikenakan kepada pemandu tapu juga kepada principal atau ketua pasukan. Mana yang mulut tak bertapis tu memang kena la.
Macam biasa la peraturan baharu mesti la ramai yang tak puas hati tapi lama-lama reda la tu kot. Kami rasa la. Tapi kalau dah tiap hari suka mencarut tu memang tentu tak puas hati punya.