
NEKAD BALIK BERAYA DEEPAVALI, PEMANDU AXIA LAWAN ARUS DAN SEBABKAN KEMALANGAN. MUJUR TIADA YANG CEDERA
Seorang lelaki dilaporkan nekad memandu melawan arus kerana ingin mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai.
Tindakan berbahaya suspek yang memandu sebuah Perodua Axia itu menyebabkan berlakunya kemalangan di KM355.4 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Bidor, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu pada pukul 6.08 petang semalam.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila T. Yugeswaran, 34, yang memandu dari Klang, Selangor menuju ke Bidor, Tapah untuk menyambut Deepavali melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari KM354 di susur keluar Sungkai arah utara selepas melihat SJR polis.
Ini membuatkan sebuah Toyota Rush yang dipandu seorang lelaki di lorong kanan arah utara tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Perodua Axia tersebut dan berpusing beberapa kali.
“Kebetulan sebuah lori treler yang membawa muatan sarung tangan juga tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Axia itu. Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata pemandu Perodua Axia itu telah ditahan di rumahnya di Bidor kira-kira pukul 11 pagi ini bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BernamaÂ