Buletin

PEMANDU PORSCHE MACAN MAUT TERBABAS DI LEBUH RAYA KL-KARAK

Seorang lelaki yang memandu kereta Porsche Macan maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar dua buah kereta di Kilometer 55.6 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika mangsa Lee Cheng Yik, 22, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Bentong.

Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu kenderaan jenis Porsche Macan dipercayai cuba memotong Proton Waja sebelum melanggar bahagian lampu belakang sebelah kanan kereta berkenaan. Ini menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berpusing.

“Proton Waja itu kemudian melanggar besi pembahagi jalan, manakala Porsche Macan melanggar bahagian belakang sebuah lagi kereta Proton Saga FLX dan terus terjunam ke lorong jalan keluar sebuah stesen minyak,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan pemandu Porsche Macam meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Waja dan Proton Saga tidak mengalami kecederaan.

Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan selekoh dua hala dan semasa kejadian keadaan jalan kering dan cuaca baik. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button