
PEMBELI AWAL TIKET MOTOGP MALAYSIA BOLEH TEBUS SEMULA WANG
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memulangkan semula wang kepada peminat yang telah membeli tiket awal perlumbaan MotoGP 2020 dijadual berlangsung pada 30 Oktober hingga 1 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata mereka boleh menghubungi SIC menerusi talian 03-87782222 atau inquiries@sepangcircuit.com untuk tujuan pemulangan wang.
“Kami belum memutuskan sama ada peminat boleh menggunakan tiket mereka pada tahun hadapan.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian. Peminat boleh menghubungi kami untuk pemulangan wang mereka. Kami mula menjual tiket awal tahun ini tapi menamatkan jualan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Beliau menambah, jumlah penjualan tiket adalah antara 20 hingga 30 peratus daripada tahun lepas.
Katanya, SIC bercadang untuk membenarkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan (selepas PKP), namun terpaksa membatalkan perlumbaan demi keselamatan dan kesihatan, memandangkan perlumbaan disaksikan penonton masih belum pasti berlaku.
“Pemegang taruh terpaksa membuat keputusan sukar membatalkan perlumbaan demi keselamatan semua susulan situasi tidak menentu COVID-19 serta sekatan perjalanan dikenakan kerajaan,” jelasnya.
Azhan Shafriman memberitahu kerugian dialami susulan pembatalan MotoGP 2020 agak besar. Bagaimanapun, SIC telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk meneliti perancangan dan alternatif jangka pendek serta pertengahan bagi mengimbangi kerugian dialami.
Beliau berkata litar perlumbaan ikonik itu hampir penuh ditempah sehingga hujung tahun ini untuk acara sukan permotoran tempatan, di samping bakal menganjurkan beberapa acara antarabangsa seperti MotoGP, Le Mans Asia dan GT Asia pada 2021.
Pada Jumaat lalu, badan pentadbir sukan permotoran – Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports mengumumkan pembatalan perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) di Litar Antarabangsa Sepang, serta GP Argentina dan Thailand.
- BACA: TIGA PERLUMBAAN MOTOGP BATAL MUSIM INI. MALAYSIA, ARGENTINA DAN THAILAND
- BACA: FABIO QUARTARARO ADA HARAPAN JUARA? INI STATISTIK BELIAU SETAKAT 20 PERLUMBAAN MOTOGP
- BACA: MOTOGP JEREZ 2020: QUARTARARO JUARA, MARQUEZ TERJATUH, ROSSI ALAMI MASALAH TEKNIKAL
- BACA: KENAPA RIDER MOTOGP LUNJUR KAKI SEMASA AMBIL SELEKOH? SIAPA YANG MULA DULU DAN SEMUA ORANG TIRU?







