Motosikal

KENAPA RIDER MOTOGP LUNJUR KAKI SEMASA AMBIL SELEKOH? SIAPA YANG MULA DULU DAN SEMUA ORANG TIRU?

Kalau anda biasa menonton perlumbaan motosikal, tidak kiralah sama ada MotoGP, Moto2 atau Moto3, anda pasti perasan yang hampir semua pelumba melakukan aksi sama ketika mengambil selekoh. 

Ya, mereka akan melunjur dan menggoyangkan kaki sebelum masuk ke selekoh pada kelajuan tinggi. Soalannya, kenapa mereka buat begitu? Memang ada ajar dalam kelas latihan tunggangan ke?  

Jangan bimbang semua, kerana kemusykilan itu telah dijawab oleh pelumba ujian pasukan MotoGP Suzuki, Sylvain Guintoli dalam satu entri di saluran YouTube miliknya baru-baru ini. 

Guintoli menjelaskan dengan bahasa yang mudah untuk kita fahami kenapa kenapa pelumba profesional akan melunjur dan menggoyangkan kaki apabila membrek, sebelum mengambil selekoh. Sebenarnya, teknik tunggangan itu dimulakan oleh pelumba pasukan factory Yamaha, Valentino Rossi.  

Menurut Guintoli yang juga merupakan juara WorldSBK, Rossi ialah pelumba yang berjaya memperhalusi teknik dan memberikan kesan terbaik ketika berlumba. Sejak itu semua pelumba lain pun tiru. Tetapi, apakah kelebihannya?  

Secara ringkasnya tindakan menjulur dan menggoyangkan kaki itu berfungsi untuk memberi keseimbangan kepada pelumba dan dia dapat mengawal jentera dengan lebih baik ketika membrek dengan keras. 

Senang cakap, teknik tersebut mempunyai kesan dalam merendahkan titik graviti jentera dan mengalihkan lebih banyak berat kepada bahagian belakang. Sekali gus membantu jentera untuk diperlahankan dengan lebih stabil. Teknik itu juga dapat menambah baik posisi tunggangan dan memastikan pelumba rasa lebih ‘planted’ di atas litar. 

Ia dilihat paling efektif apabila hendak memotong pelumba lain di dalam zon membrek seperti yang pernah ditunjukkan oleh Rossi ketika memintas Sete Gilbernau dalam perlumbaan MotoGP tahun 2005 di litar Jerez.  

Google ads
Back to top button