Artikel Pilihan

PEMILIK BERANG SAMAN MERCEDES USD200 JUTA – SUNROOF MELETUP PUNYA PASAL

Ini bukan kali pertama kita mendengar tentang masalah sunroof tetapi inilah kali pertama pengeluar besar seperti Mercedes-Benz disaman tentang masalah yang sama. Menurut Car Complaints, pemilik sebuah Mercedes ML350 keluaran tahun 2015 kini telah memfailkan saman terhadap Mercedes sebanyak USD200 juta kerana sunroof kereta beliau telah meletup tanpa sebab.

Saman tersebut merangkumi yuran guaman segala kos yang bersangkut paut dengan urusan berkenaan. Menurut pengadu, Mercedes telah menjual kereta yang bermasalah kepada beliau selepas sunroof kereta yang dipandu oleh adik perempuannya meletup dan pecah berderai sewaktu dalam perjalanan. Dah jangan nak memandai, tak ada pokok durian pun kat tempat tu walaupun sekarang musim durian.

Kejadian berlaku ketika SUV terbabit dipandu hanya dalam kelajuan 88 km/j dilebuh raya dalam keadaan cuaca baik. Wanita tersebut kemudian terdengar bunyi seakan letupan shotgun dan segera berhenti di lorong kecemasan untuk memeriksa keadaan.

Walaupun tiada sebarang kerosakan luaran, bumbung panoramic SUV berkenaan telah ancur berkecai dengan pecahan kaca memenuhi seluruh tempat duduk belakang.

Menurut tuntutan saman berkenaan, bumbung panoramic kaca sebesar ini perlukan standard kejuruteraan yang sangat tinggi dan perlu diperkuatkan untuk keselamatan. Tapi dalam hal ini pihak pengeluar telah gagal menepati standard menyebabkan berlakunya masalah pada komponen terbabit.

Pemilik lain yang pernah mengalami masalah sama juga menyatakan ketakutan mereka bila berlakunya letupan pada komponen yang sama. Apatah lagi jika ada penumpang di tempat duduk belakang semasa kejadian. Bayangkan pecahan kaca berteraburan jatuh ke atas anda walaupun bukannya ketika kemalangan.

Gambar hiasan

Lagi bahaya jika ia menyebabkan tumpuan pemandu terganggu dan mungkin menyebabkan kemalangan yang lebih serius. Peliknya Mercedes tidak pernah melakukan sebarang recall terhadap isu ini. Malah pengeluar juga tidak pernah memberi amaran kepada pembeli tentang kemungkinan sunroof berkemungkinan meletup dalam keadaan tertentu. Hmm…

Terhadap pelanggan sebelum ini menyatakan Mercedes memberikan imbuhan antara USD250 hingga 500 sebagai gantirugi akibat isu yang sama asal sahaja mereka tidak memanjangkan isu tersebut ke mahkamah. Penggantian sunroof model ini boleh menelan belanja sehingga USD2,000 tapi pengadu mendakwa beliau diberi anggaran USD9,000 untuk penggantian sunroof baharu.

Selain Mercedes, sebuah lagi syarikat yang turut didakwa akibat kecuaian ialah Saint-Gobain Sekurit, pembekal sunroof untuk model tersebut.

Tags
Google ads
Back to top button