PENDAPATAN SEKTOR PENERBANGAN MALAYSIA DIJANGKA SUSUT SEHINGGA RM19 BILION
Pendapatan dalam sektor penerbangan Malaysia dijangka merosot sehingga AS$4.6 bilion (RM19 bilion) tahun ini, berikutan pelbagai sekatan yang dikenakan bagi membendung penularan Covid-19.
Lebih membimbangkan, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut menjangkakan kira-kira 250,000 pekerja dalam sektor penerbangan, termasuk daripada sektor berkaitan seperti pelancongan berisiko hilang pekerjaan seandainya sekatan perjalanan udara antarabangsa berpanjangan.
Naib Presiden Serantau IATA bagi Asia Pasifik, Conrad Clifford, berkata pandemik Covid-19 memberi tamparan hebat kepada sektor penerbangan bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia dengan kerugian dianggarkan berjumlah AS$84.3 bilion (RM350 bilion).
Beliau menambah, sektor itu bukan hanya berdepan kehilangan pendapatan akibat sekatan perjalanan dan penutupan sempadan, malah turut memberi risiko kehilangan pekerjaan.
Katanya, Malaysia perlu mencari cara untuk memulakan perjalanan antarabangsa dengan selamat, termasuk melalui pelaksanaan gelembung perjalanan.
“Kami memahami dan setuju sepenuhnya bahawa keutamaan bagi semua orang dalam krisis ini adalah kesihatan dan keselamatan rakyat.
“Namun, IATA percaya bahawa ada langkah alternatif lain untuk memastikan keselamatan dan membolehkan hubungan global diteruskan kembali,” ujarnya.
Dua syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Aviation Group (MAG) dan AirAsia Bhd. tidak terkecuali berdepan dengan kerugian dan operasi yang terjejas.
Clifford menjelaskan, kerajaan boleh mempertimbangkan bantuan kepada industri penerbangan memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.
“Adalah sukar bagi syarikat penerbangan untuk bertahan daripada penutupan tanpa had ini,” katanya.
IATA baru-baru ini mencadangkan tiga langkah tindakan untuk membuka semula sempadan dengan selamat kepada negara di seluruh dunia. – Berita Harian
- BACA: BERJALAN ATAS SAYAP PESAWAT, WANITA DIHARAM NAIK PENERBANGAN UKRAINE INTERNATIONAL AIRLINES
- BACA: SYARIKAT PENERBANGAN TERBESAR AMERIKA LATIN MUFLIS. TANGGUNG HUTANG RM78.4 BILION
- BACA: WARREN BUFFETT JUAL SEMUA SAHAM SYARIKAT PENERBANGAN BERNILAI RM25.7 BILION
- BACA: IMIGRESEN UMUM GARIS PANDUAN BAHARU KELUAR MASUK RAKYAT MALAYSIA