Buletin

CHERY TIGGO 8 PRO CKD BAKAL LANCAR JULAI. OMODA 5 EV TIBA HUJUNG TAHUN INI

Setelah mencatat jualan lebih 100,000 unit sebulan selama lapan bulan berturut-turut pada tahun lepas, hari ini Naib Presiden Eksekutif, Charlie Zhang berkongsi mengenai langkah strategik untuk pasaran Malaysia.

Antara perkara diumumkan termasuklah pengeluaran tempatan (CKD) untuk model Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 yang akan bermula pada Jun 2023.

“Syarikat bekerja keras merealisasikan rancangan itu dan berharap ia boleh dilakukan secepat mungkin,” kata Charlie Zhang.

“Sebarang kemas kini akan diumumkan tidak lama lagi sehingga perjanjian dimeterai dalam masa terdekat.”

Walau bagaimanapun, beliau masih belum mendedahkan rakan kongsi untuk pengeluaran tempatan.

Tahun lalu, Chery menyatakan bahawa pelan ‘fasa satu’ merangkumi model Chery Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 sebelum diikuti Tiggo 7 Pro serta Tiggo 4 Pro.

Untuk pasaran Malaysia, Omoda 5 akan ditawarkan dengan enjin 1.5 liter, spesifikasi sama seperti model keluaran Indonesia. Enjin yang mampu menjana kuasa 154hp dan tork 230Nm itu dipadankan dengan kotak gear CVT.

Antara perkongsian lain ialah Omoda 5 elektrik sepenuhnya, sah akan dilancarkan di Malaysia menjelang akhir tahun ini. Zhang berkata model elektrik sepenuhnya itu dijangka memulakan pengeluaran di China pada September.

Dalam perkembangan berkaitan, Tiggo 8 Pro varian plug-in hibrid (PHEV) juga dijangka dilancarkan pada tahun hadapan.

Dari segi spesifikasi, ia akan menampilkan rangkaian kuasa PHEV generasi ketiga yang dikuasakan oleh enjin pengecas turbo 1.5 liter, dua motor elektrik, serta kotak gear 3DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dengan output 241hp dan tork 510Nm.

Tambah Zhang lagi, rangkaian kuasa PHEV generasi ketiga akan menampilkan kecekapan tenaga sehingga 44 peratus dan menawarkan jarak gerak sejauh 100km dengan satu pengecasan penuh.

Google ads
Back to top button