Buletin

PUSPAKOM IKRAR BEBAS RASUAH. MAHU DAFTARKAN ‘RUNNER’

Lebih 70 kakitangan terdiri daripada peringkat pengurusan, termasuk dari Sabah dan Sarawak merupakan kumpulan pertama yang menghadiri Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di PUSPAKOM, Shah Alam baru-baru ini.

Program itu amat penting dan bermakna kepada PUSPAKOM kerana ia melambangkan komitmen serta kesungguhan yang berterusan dalam memperkasakan integriti, di samping meningkatkan reputasi syarikat.

Antara yang hadir melafazkan serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah ialah Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor, Dato’ Haji Alias Salim; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor, Ridzuan bin Abdul Malik; Perunding PUSPAKOM, Dato’ Samsiah Abu Bakar dan Ketua Seksyen Tadbir Urus dan Integriti, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hashim Borhan.

Komitmen PUSPAKOM dalam memerangi rasuah bukan hanya kepada ikrar, tetapi pelbagai inisiatif yang telah dibuat. Antaranya, pembentukan Kerangka Kerja Integriti dan Pematuhan PUSPAKOM (PICF) dan jelajah dialog integriti di semua cawangan PUSPAKOM seluruh negara.

PUSPAKOM menunjukkan komitmen dalam usaha pendigitalan urus niaga seperti transaksi tanpa tunai sepenuhnya, janji temu pemeriksaan dalam talian, penggunaan peralatan pemeriksaan berautomasi yang tidak boleh dimanipulasi, aktiviti-aktiviti pemantauan pemeriksaan dan lain-lain.

PUSPAKOM mula mengorak langkah ke arah memperkasakan integriti dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengekalkan tahap amalan integriti yang tinggi sejak tahun 2011 lagi.

Dalam masa terdekat, PUSPAKOM turut merangka pelan untuk mendaftarkan “runner” atau orang tengah yang mewakili pelanggan dalam urusan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM. Ia bertujuan memastikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh runner adalah telus dan berintegriti.

Ini bermakna, usaha dan inisiatif PUSPAKOM dalam memerangi rasuah bukan sahaja melibatkan warga kerja PUSPAKOM. Malah pihak ketiga yang terlibat dalam menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan demi menjamin ketelusan.

Google ads
Back to top button