Artikel Pilihan

PENGALAMAN MENAIKI JENTERA RALI. VW POLO, JUARA BRC 2 KALI

Kami ingin kongsikan kepada anda, pengalaman menaiki jentera rali yang sebenar yang dialami oleh Dr. Aid Fawzal di UK. Dalam satu pertandingan fotografi, Dr. Aid berjaya memenangi hati juri dan dihadiahkan pengalaman taxi ride dalam jentera perlumbaan Vw Polo.

Jentera ini dipandu oleh Matt Edwards juara 2 kali British Rally Championship. Ikuti catatan pengalaman Dr Aid Fawzal dari Facebook miliknya di bawah.

Pada Khamis yang lalu (08/07/2021), saya mendapat peluang keemasan yang tidak pernah saya bayangkan sebelumnya. Saya bertemu dengan Matt Edwards, juara dua kali British Rally Championship (BRC), saya dapat melihat Volkswagen Polo GTI R5 dari jarak dekat dan paling menarik adalah saya mendapat peluang menaiki kereta rali sebenar.

Bagi seseorang yang suka mencari hubungan (korelasi) antara dunia simulasi dan realiti, peluang ini sangat bermakna bagi saya (saya adalah seorang jurutera simulasi). Semuanya bermula dengan sebuah pertandingan rali eSports yang diadakan pada awal tahun ini yang dianjurkan oleh Yuasa; terima kasih saya ucapkan atas peluang yang diberikan.

Saya memasuki pertandingan tersebut dengan begitu kompetitif tetapi hanya berjaya mendapat tempat ke 17 daripada 139 peserta. Selain daripada menyertai perlumbaan rali secara maya, saya juga menghantar gambar sebagai penyertaan ke pertandingan foto yang turut dianjurkan. Jauh dalam hati, saya teringin untuk memenangi pertandingan ini.

Sehiggalah seminggu yang lalu, Matt mengumumkan bahawa saya memenangi pertandingan bergambar dan saya amat terharu. Mau taknya, saya rasa masa yang saya habiskan berjam-jam untuk menghasilkan foto tu betul-betul berbaloi. Peluang menaiki kereta Bersama Matt membuka mata saya untuk melihat bagaimana beliau mengejar batas kejuruteraan.

Untuk pengetahuan pembaca, hari tersebut sebenarnya adalah hari ujian kereta. Ini bermakna, beliau dan pasukan sedang membuat persediaan, menyesuaikan diri dan fine-tune untuk keadaan jalan berkerikil (gravel). Manakala kami yang hadir sebagai tetamu ini adalah tempelan kepada sesi ujian tersebut.

Namun, itu tidak menghalang beliau untuk memberi tumpuan sepenuhnya. Matt tetap menaruh dedikasinya walaupun ketika membawa tetamu di dalam kereta beliau. Kami dapat menyaksikan bagaimana beliau memberikan ‘maximum attack’ pada jentera tersebut.

Saya sangat gembira dapat menjadi penumpang pertama dan berpeluang berbual dengannya sebelum sesi bermula. Perasan ini sangatlah luar biasa untuk duduk di dalam kereta rali yang sebenar. Agak ‘gila’ juga memikirkannya kerana G-force yang terhasil sewaktu kereta rali tersebut bergerak bukanlah sesuatu yang pernah saya alami sebelum ini.

Kebisingan enjin, kawalan pelancaran, anti-lag, bunyi pasir dan batu yang terpelanting dibawah kereta serta pokok dan semak di jalan yang sempit memberikan pengalaman menarik; sangat ganas dan kejam. Inilah dia sukan ekstreme. Sewaktu Matt memandu, saya cuba perhatikan pelbagai perkara dan begitu banyak maklumat untuk diserap oleh pancaindera ini.

Yang dapat saya katakan adalah bahawa apa yang kita ada pada simulator rali hanyalah sebahagian kecil dari dunia realiti. Tahniah kepada Matt, Darren dan Pasukan Yuasa kerana berjaya memenangi Pusingan 2: Nicky Grist Stages (di Wales). Ya, mereka menang dengan kereta yang sama mereka ‘belanje’ kami naik ni.

Saya bersyukur atas peluang yang Yuasa diberikan kepada kami dan berharap agar Matt menjadi pemandu pertama yang dapat memenangi BRC sebanyak 3 kali. Semoga yang terbaik untuk pusingan seterusnya. Selamat maju jaya Matt!

Kereta yang luar biasa. Mesin hebat ini dibina oleh Melvin Evans Motorsports. (Di sebelah kiri) Juruteknik menukar bar anti-roll setelah Matt membuat beberapa percubaan. Perhatikan dengan teliti bahawa bar anti-roll kereta rali adalah batang lurus dan tidak berlekuk-lekuk seperti kereta penumpang biasa.

Pejabat Matt dan Darren. Saya telah melihat banyak bahagian dalam kereta perlumbaan, tapi yang ini sangat minimalist. Sama seperti konsep KISS = Keep It Simple, Stupid.

Setiap kali beliau berhenti berehat, Matt akan berbincang dengan pasukan untuk mencari tune yang terbaik bagi permukaan jalan yang unik kali ini.

Selamat berkenalan dengan penunjuk-arah Matt, nama beliau Darren Garrod. Beliau berkongsi cerita bagaimana beliau mula bertemu dengan Matt.

Bahasa asing yang tertulis pada buku diatas dipanggil ‘pacenote’. Adalah tugas Darren untuk menavigasi dan menerangkan dengan tepat laluan rali ke Matt

Ini adalah minat terbesar saya: aerodinamik. Kereta rali R5 mempunyai pakej aero yang minimum. Tetapi jika anda melihat spoiler belakang ini dengan teliti, itu bukan spoiler biasa. Ia diletakkan sedikit ke belakang selepas spoiler OE Polo GTI yang asal.

Ia adalah sayap berelemen tunggal yang membolehkan aliran udara melewati permukaan atas dan bawahnya. Oleh kerana panjang permukaan wing ini berbeza atas dan bawah, ia menghasilkan tekanan yang berbeza sehingga menghasilkan downforce.

Lihat juga dihujung sayap, ada bentuk menegak dan ini dipanggil ‘Gurney flap’. Ciri ini meningkatkan downforce dengan peningkatan drag yang minima. Saya boleh bercakap berjam-jam mengenai subjek ini

Trak Melvyn Evans Motorsports. Adakah anda nampak apa yang saya lihat?? Tu kotak gear tu (dibawah kanan). Saya harap dapat melihat dengan lebih dekat tetapi saya tidak melakukannya. Saya tak mahu mengganggu pasukan perlumbaan dalam persiapan mereka.

Google ads
Back to top button