Buletin

RETRO HAVOC CAR SHOW 2023: NETIZEN KECAM PENGUNJUNG SELAMBA SENTUH KENDERAAN TANPA KEBENARAN

Retro Havoc Car Show yang berlangsung di Mutiara Damansara baru-baru ini menghimpunkan pelbagai jenis kenderaan untuk dipamerkan kepada pengunjung.

Dari sudut kehadiran, acara itu boleh dianggap berjaya namun tidak kurang juga kejadian tidak diingini berlaku sepanjang acara berkenaan berlangsung.

Kecoh di media sosial apabila beberapa video telah tular di mana segelintir pengunjung dengan selamba duduk di atas kereta, bersandar bahkan ada yang menyentuh kenderaan-kenderaan tanpa kebenaran pemilik.

Pastinya perkara tersebut mendatangkan kesan buruk kepada pemilik serta kenderaan, termasuk ada yang mendakwa bahawa ada kenderaan calar-balar, nombor pendaftaran patah, patah cermin sisi walaupun terdapat tanda amaran ‘do not touch participant car’.

Menerusi akaun Twitter Amran Fans, pengguna platform itu mengecam tindakan tidak bertanggungjawab oleh pengunjung.

“Kau kalau tak berapa minat benda-benda gini toksah lah buat semak datang. Pergi zoo ke apa lagi sesuai dengan perangai macam tu,” ciap akaun Twitter Amran Fans.

“Dia tak tahu orang tu nak masuk ‘event’ (acara) saja habis beribu buat cat, ‘wax’, ‘polish’, ‘coating’ bagai. Sampai pada kau, buat macam duduk dekat Proton Iswara ayah kau yang letak bawah pokok rambutan 10 tahun.”

Dalam masa sama, dia turut memuat naik perkongsian didakwa peserta dari luar negara dikatakan tidak mahu menyertai acara sedemikian pada masa akan datang.

“Memalukan, sampai orang luar pun ‘taubat’ tak nak sertai acara dekat Malaysia lagi dah. Habis jahanam, calar-balar kereta orang dibuatnya.”

Salah seorang pengguna TikTok turut meluahkan pengalaman sama, “Sedih tengok kereta disentuh sesuka hati. Kasihan pemilik berhabis duit, sampai ada ‘spoiler’ patah.” – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button