
PENGEDAR BAHARU MOTOSIKAL DUCATI DI MALAYSIA AKAN DIUMUMKAN BULAN INI?
Anak syarikat NAZA, Next Bike Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi jenama motosikal Ducati sejak tahun 2008 difahamkan tidak akan meneruskan kerjasama itu bermula tahun 2026.
Tinjauan di laman media sosial rasmi Ducati MY termasuk di Instagram dan Facebook juga menyaksikan kali terakhir perkongsian di muat naik adalah pada bulan November lalu.

Desas desus mengenai status Next Bike selaku pengedar rasmi jenama motosikal Ducati di Malaysia telah pun berlegar sejak penghujung tahun 2024.
Namun begitu, memasuki tahun 2026, NAZA menerusi Next Bike Sdn Bhd hampir pasti tidak lagi menggalas tugas itu.

Kami difahamkan, para kakitangan Ducati Malaysia yang bertapak di pusat pameran Ducati Petaling Jaya sebelum ini telah pun melepaskan tugas masing-masing dan beralih kepada jenama lain di bawah payung NAZA bermula 1 Januari 2026.
Persoalannya sekarang, pihak mana yang bakal dilantik menjadi pengedar baharu Ducati selepas ini?
Berdasarkan maklumat diperolehi, jawapan kepada soalan tersebut kemungkinan besar akan diketahui seawal bulan Januari ini ketika satu program rasmi yang akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).






