Buletin

PENGEDAR SAMAN HYUNDAI KERANA TAHAN INVENTORI KERETA

Pengedar kadangkala mendapat pelbagai keistimewaan untuk menjual jenama atau model tertentu, tetapi pembuat kereta mengenakan jumlah yang besar untuk kelebihan tersebut.

Perkara ini disuarakan oleh ramai pengedar kerana francais tahunan, perbelanjaan mandatori untuk pemasaran dan perniagaan naik mendadak. Baru-baru ini Hyundai disaman oleh salah satu pengedar, Central Avenue Hyundai di Hartsdale, New York kerana menahan inventori selepas pemiliknya enggan melabur ratusan ribu dolar untuk menaik taraf premis seperti diminta.

Menaik taraf memerlukan pelaburan yang besar untuk membina kemudahan lebih besar dan memodenkan bilik pameran demi menarik pembeli, terutamanya pelanggan EV ke bilik pameran, kerana ramai orang lebih suka membeli kereta dalam talian. Bagi sesetengah pengedar, kesan kewangan boleh mencecah jutaan dolar.

Pengurusan Central Avenue mendakwa bahawa Hyundai mengurangkan penghantaran kenderaan baharu sebanyak hampir 42 peratus pada suku pertama 2022 berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Semua peniaga dan pembuat kereta bergelut dengan inventori baharu, tetapi jumlah kereta yang diterima oleh Central Avenue adalah paling ketara berbanding 13 pengedar berdekatan.

Pelbagai isu terpaksa dihadapi sejak dua tahun lalu dengan isu rantaian bekalan dan kesan berlarutan disebabkan wabak menjejaskan keupayaan peniaga dan pengeluar.

Ramai pemegang francais menolak idea Hyundai mengenai pelan Accelerate pada tahun 2020. Tetapi kebimbangan mengenai hubungan mereka dengan pembuat kereta terjejas mendorong persatuan pengedar di negeri mereka untuk mengambil tindakan.

Selain Hyundai, Ford dan General Motors sebelum ini dilapor mengancam untuk menahan peruntukan sebagai hukuman kerana pengedar melakukan markup serta amalan buruk yang lain. Kedua-dua syarikat kereta gergasi itu juga telah mewajibkan pelaburan yang besar.

Google ads
Back to top button