Motosikal

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT KEPALA TERKENA BATU DARI LERENG BUKIT

Seorang lelaki maut selepas batu yang terjatuh dari lereng bukit terkena kepalanya sebelum motosikal ditunggangi terbabas di Kilometer 35.4 Jalan Tranum ke Bukit Fraser, Raub Pahang kelmarin.

Kejadian pada jam 3.10 petang itu berlaku ketika mangsa Nor Eaffendi Mohamad Samsi, 51, yang turut membonceng isterinya, Asfalillah Abu Hassan, 39, berkonvoi motosikal bersama 30 rakan dari Johor Bahru ke Pahang.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mangsa bersama rombongan konvoi motosikal itu bergerak dari Johor Bahru Jumaat lalu.

“Mereka menginap di Jerantut sebelum meneruskan perjalanan ke Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan singgah ke Bukit Fraser sebelum kejadian berlaku.

“Menurut isteri mangsa, kejadian berlaku dengan pantas, dia hanya terdengar bunyi hentakan kuat di kepala suaminya, sebelum motosikal mereka terbabas ke bahagian kanan jalan,” kata Kama Azural.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia, manakala isterinya cedera ringan.

Mayat mangsa dihantar ke forensik Hospital Raub untuk bedah siasat dan disahkan negatif Covid-19.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat pendarahan di otak dengan tempurung kepala retak,” katanya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button