
TOYOTA SUPRA 2020 AKHIRNYA DILANCARKAN – HILANG SUDAH IDENTITI JEPUN?
Setelah begitu banyak khabar angin, spyshot, teasers dan sebagainya, Toyota akhirnya menamatkan segala penantian apabila melancarkan model sports, Supra.
Sebagaimana sedia maklum, Supra baharu ini merupakan hasil kolaborasi di antara Toyota dan BMW. Ia tidak dibina di mana-mana kilang di Jepun, sebaliknya dihasilkan di di Austria oleh pihak Magna Steyr.

Ceritanya begini. Model Supra paling popular iaitu A80 dihentikan produksinya pada tahun 2002. Langkah itu diambil berikutan standard emisi yang semakin ketat, kegawatan ekonomi Jepun dan kereta sport tidak lagi mendapat sambutan di seluruh dunia.
Tetapi, pada tahun 2012, Toyota mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan BMW untuk membina sebuah kereta sports.

Hasilnya, Supra dan BMW Z4 berkongsi hampir semua komponen. Enjin BMW inline six twin turbo 3.0 liter, platform BMW dan kotak gear lapan kelajuan automatik.
Supra menawarkan kuasa mencecah 335hp dan tork 495Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear ZF lapan kelajuan automatik sahaja (tiada varian manual).

Padanan rangkaian kuasa tersebut membolehkan Supra memecut dari 0-100km/j dalam masa 4.1 saat sahaja. Pecutan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada kelajuan 250km/j. Angka itu menjadikannya sebagai model paling pantas yang pernah Toyota hasilkan setakat ini.
Apa yang menarik, biarpun menggunakan enjin sama, janaan kuasanya adalah berbeza. Sebagai contoh, model kembarnya, BMW Z4 2019 yang dipasarkan di Amerika Syarikat memiliki kuasa 382hp. Manakala pengguna di Eropah dah benua lain terpaksa berpuas hati dengan 335hp sahaja.

Harga
Jentera ini ditawarkan pada harga AS$49,990 (RM204,908) untuk model asas dan AS$53,990 bagi (RM221,300) varian Premium. Jika membeli varian Premium, anda akan menerima sistem audio JBL dengan 12 unit pembesar suara dan tempat duduk dibalut kulit bersama fungsi pemanas.
Launch Edition (pasaran Amerika sahaja) berharga AS$55,250 (RM226,476) yang terhad kepada 1,500 unit sahaja pula didatangkan dengan kemasan berwarna merah pada bahagian luar dan tempat duduknya.
Bagi pasaran Jepun, Supra turut didatangkan dengan enjin 2.0 liter berkuasa 255hp dan 194hp. Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan lebih ringan.

Pemuja Supra mungkin akan sedikit kecewa kerana model baharu ini tidak lagi seperti Supra asal yang dilengkapi enjin lejen 2JZ-GTE itu.
Eh, kenapa pula? Kerana ia sudah jadi seperti jelmaan BMW Z4. Supra kini hadir dengan dua tempat duduk, lebih kecil, HUD, skrin dan ada iDrive! Ia juga menjadikan model seperti Porsche Cayman GT4 dan Boxster sebagai penanda arasnya.
Dalam erti kata lain, Supra ini tidak lagi Jepun sepenuhnya.
GALERI