Buletin

PERIKATAN RENAULT – NISSAN, MITSUBISHI TURUT DAPAT MANFAAT

Setelah perjanjian baharu pakatan Renault dan Nissan dimeterai, hasilnya Mitsubishi juga bakal mendapat manfaat daripada perikatan tersebut di mana terdapat rundingan semula mengenai usaha sama mereka, terutama selepas penahanan bekas ketua pegawai eksekutif, Charlos Ghosn pada 2018.

Pastinya, Nissan dan Renault bakal diutamakan terlebih dahulu kerana Nissan bakal mengeluarkan model baharu untuk Renault di Mexico, iaitu kali pertama kenderaan Renault dibina di sana sejak dua dekad lalu.

Walau bagaimanapun, Renault tiada rancangan untuk menjual model ini di AS dan tidak mempunyai rancangan untuk memasuki pasaran AS, tetapi Renault menyasarkan untuk menjual crossover EV di AS pada 2027 atau 2028.

Tetapi bagaimana dengan Mitsubishi? Bagaimanakah ia akan mendapat manfaat daripada pasaran Amerika Utara yang sangat kompetitif? Di bawah perjanjian baharu itu, Mitsubishi kini mempunyai pilihan untuk melabur dalam Ampere, syarikat EV dan perisian diasaskan oleh Renault.

Renault dan Nissan menyasarkan untuk membina 30 kenderaan elektrik baharu di bawah usaha sama ini. Sementara, Mitsubishi pada masa ini tidak mempunyai sebarang kenderaan elektrik bateri tulen dalam barisannya.

Dengan pakatan Renault-Nissan serta pilihan pelaburan Mitsubishi dalam Ampere, setidaknya Mitsubishi mempunyai peluang untuk memastikan kehadiran mereka di pasaran AS adalah sesuatu yang signifikan.

Setakat ini, Mitsubishi hanya menjual empat model di sana dan terpaksa menerima hakikat bahawa jualan di AS telah menurun sebanyak 16 peratus pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi, Takao Kato, membayangkan bahawa ada rancangan untuk mengembangkan barisan di AS dan kawasan lain tetapi beliau enggan memberikan butiran lanjut. Namun, kita boleh menjangkakan Mitsubishi akan tampil dengan SUV elektrik sepenuhnya pada masa akan datang.

Google ads
Back to top button