Artikel Pilihan

PERODUA ATIVA, DATANG DENGAN TEKNOLOGI LAMPU LED PINTAR. SEPINTAR ABAM JAPAR

Sewaktu muda dulu, penulis lebih gemar memandu pulang ke kampung pada waktu malam. Ia lebih sejuk, lebih selesa sebab jalan kurang sesak, lebih pantas dan kalau bulan puasa waktu malam boleh makan-makan. Cuma kalau nak memandu di waktu malam, pastikan anda ada lampu depan yang baik kerana ia mengurangkan mata menjadi lesu selepas memberi fokus di jalan yang gelap.

Jadi adalah lebih baik jika kereta tersebut datang dengan lampu kabus dan lampu depan yang terang. Kebaikannya ialah kita boleh melihat lebih jauh dan lebih jelas tapi pada masa yang sama ia akan menyebabkan mata pemandu lain menjadi silau. Selain menyebabkan mereka menyumpah seranah, ia sebenarnya amat berbahaya kerana mata pemandu lain akan menjadi buta sementara.

Perodua merupakan salah satu jenama automotif yang banyak memperkenalkan teknologi baru dalam aspek pencahayaan. Sewaktu Myvi generasi ke 3 dilancarkan dahulu, ramai pemerhati automotif terkejut dengan keupayaan mereka menghasilkan lampu teknologi LED dengan harga mampu milik.

Salah satu aspek keselamatan yang bakal diperkenalkan oleh Perodua nanti menerusi model SUV Ativa ialah teknologi lampu LED depan yang pintar. Lampu LED ini berupaya mengesan kehadiran kereta lain melalui kamera dan mengubah serta mengawal paramter lampu LED agar ia menghasilkan pencahayaan yang lebih sesuai. Sebagai contoh ia boleh menggunakan lampu tinggi tapi tidak menyilaukan pemandu dari arah depan.

Bunyi agak pelik kan, tapi itulah yang boleh dilakukan oleh Daihatsu Rocky iaitu kembar Perodua Ativa. Melalui semakan kami di laman sesawang Daihatsu ada 3 fungsi utama yang bakal diwarisi oleh Perodua Ativa nanti

1. Auto High Beam – atau lampu tinggi secara automatik. Fungsi ini ialah apabila diaktifkan akan sentiasa menggunakan lampu tinggi LED secara optimum. Namun sebaik sahaja ia mengesan kehadiran kereta lain dari arah depan, sensor akan mengarahkan lampu LED menggunakan lampu rendah serta merta.

Bagi pemandu yang suka memandu jauh pada waktu malam, fungsi ini akan mengurangkan beban pemanduan dengan mengawal lampu. Jadi pemandu boleh memandu dengan tenang serta mendapat cahaya yang cukup sepanjang masa. Tak perlu kalut nak guna lampu rendah bila kereta datang dari arah depan.

2. Adaptive Driving Beam – atau lampu depan adaptif yang hanya ditawarkan pada varian H dan AV sahaja. Lampu LED Ativa sebenarnya terdiri daripada beberapa siri susunan lampu LED yang disusun secara strategik. Apabila diaktifkan, ia akan sentiasa menggunakan lampu tinggi secara optimum

Namun apabila kamera mengesan kehadiran kereta lain dari arah depan, beberapa lampu LED akan dipadamkan terus secara automatik bagi menghalang pemandu hadapan menjadi silau. Sebagai contoh ia akan memadamkan LED di sebelah kanan tapi menyalakan LED lampu tinggi pada sebelah kiri. Tempat tiada kereta jadi gelap, tempat ada kereta jadi terang. Bijakkan?

3. Side View Lamp/Cornering Lamp – atau bahasa lain ialah lampu suluhan selekoh. Lampu LED ini akan dinyalakan untuk menerangi kawasan gelap berdasarkan input stering kereta. Jika kereta ke kiri, lampu sebelah kiri akan menyala. Jika input stering ke kanan, lampu kanan akan menyala.

Ini membolehkan pencahayaan yang lebih bagus bagi kawasan yang terselindung akibat selekoh atau ketika kereta keluar dari sisi bangunan. Lampu ini akan menyala di belah kiri dan kanan jika pemandu mengundurkan kereta bagi menerangi kawasan petak parkir.

Google ads
Back to top button