Buletin

PROTON KUASAI PASARAN PADA PARAS TERTINGGI SEJAK 2013

PROTON mencatatkan jualan 11,873 unit kenderaan pada bulan lalu, sekali gus menguasai 27.1 peratus pasaran pada tahap tertinggi sejak September 2013.

Secara keseluruhan, PROTON mengakhiri bulan Februari pada kedudukan kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada bulan Januari.

Berbanding bulan sama pada 2020, jumlah jualan meningkat sebanyak 19.9 peratus manakala jumlah kumulatif dua bulan pertama 2021 masih kurang 643 unit atau 3.5 peratus berbanding dengan tahun lepas.

Proton X50 yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu mendapat sambutan amat memberangsangkan apabila lebih 30,000 tempahan diterima sebelum akhir tahun.

Bagaimanapun,  masa menunggu penghantaran meningkat akibat kelewatan yang dialami di barisan pengeluaran dan fokus syarikat kepada kualiti.

Selepas 3,345 unit dihantar pada Februari, sebanyak 8,141 unit kini berada di tangan pembeli dan kadar bekalan semakin mendekati jumlah permintaan.

Pencapaian tersebut merupakan jumlah terbesar bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam sejarah negara dan membolehkan Proton X50 diberi gelaran SUV paling laris bagi segmennya dan secara keseluruhan.

Selain itu, jualan sebanyak 1,475 unit Proton X70 (jumlah tertinggi bagi SUV segmen-C) pula ditambah ke jumlah kumulatif, syarikat berjaya menjual sebanyak 4,820 unit SUV pada bulan Februari.

Ia merupakan keputusan terbaik pernah tercapai dalam sejarah pasaran automotif negara.

Begitupun, model paling laris masih disandang Proton Saga dengan jualan sebanyak 4,217 unit.

Proton Saga turut menerima gelaran model pertama Proton dijual di Kenya apabila kenderaan yang dipasang siap di sana oleh rakan perniagaan PROTON, Simba Corporation, dilancarkan pada 25 Februari.

Model Proton lain juga menunjuk prestasi tinggi, dengan gelaran sedan segmen-B terlaris disandang oleh Proton Persona selepas 1,818 unit dijual, mengatasi saingan daripada model yang lebih baharu.

Proton Exora pula kekal di tangga teratas bagi MPV segmen-C manakala Proton Iriz di tempat ketiga bagi hatchback segmen-B.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata Februari adalah bulan yang penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia tetapi ia memberi keputusan cemerlang bagi PROTON.

Katanya, atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat berjaya menghasilkan lebih anyak bkenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan.

“Ini amat penting kerana kami perlu menghantar kenderaan ke pembeli secara konsisten untuk mengelakkan situasi kelam-kabut apabila insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berakhir pada 30 Jun tahun ini.

“Segmen automotif akan terus menarik perhatian pembeli pada 2021 dengan banyak pelancaran baharu daripada pelbagaijenama, sekali gus mendorong saingan antara PROTON dan syarikat lain.

“Namun, kami akan terus bersikap berhati-hati dalam semua usaha untuk mengelakkan kadar jangkitan meningkat semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Google ads
Back to top button