Buletin

PERODUA ATIVA RASMI DILANCARKAN. 3 VARIAN, ENJIN TURBO 1.0L, ASA 3.0, BERMULA RM61,500 SAHAJA!

Perodua Ativa, model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, dilancarkan hari ini dengan harga rasmi bermula RM61,500 hingga RM72,000 (di atas jalan sebelum insurans) di Semenanjung Malaysia.

Harga tersebut lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang diumumkan sebelum ini. Ia sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30hb Jun nanti.

Harga dan varian Ativa adalah seperti berikut:

“Harga Perodua Ativa yang berpatutan adalah disebabkan kadar kandungan komponen tempatan sebanyak 95 peratus, kadar permulaan tertinggi bagi mana-mana model Perodua.

“Malah, enjin dan transmisinya juga dihasilkan di Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin menerusi premiere digital yang bermula pada 8 malam tadi.

“Setakat ini, kami telah menerima kira-kira 5,000 tempahan bagi Perodua Ativa sejak ia dibuka untuk tempahan pada 19hb Februari lalu. Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan mereka.

“Penghantaran akan bermula esok (4hb Mac), dan kami mensasarkan untuk menghantar sebanyak 3,000 unit sebulan secara purata,” kata Zainal.

Dato’ Zainal turut menambah bahawa Perodua Ativa adalah hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

Perodua Ativa dibina atas platform global kerana Perodua dan Daihatsu telah berjaya menyatukan sumber yang mampu menghasilkan model paling berdaya saing.

Menurut Dato’ Zainal, pengenalan Perodua Ativa amat penting kerana ia membawa kerjasama antara Perodua dan Daihatsu ke tahap baharu. Sekali gus membolehkan Perodua dan para pembekalnya berkongsi komponen dan proses untuk memaksimumkan kecekapan kos.

“Semua ini dilakukan tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri-ciri dan citarasa Malaysia yang unik.

“Penglibatan kami dalam pembangunan Ativa bermula dari papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera kami bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018.

“Kerjasama erat ini membolehkan kami melibatkan ekosistem automotif Malaysia dalam pembangunan model ini. Para pembekal kami berjaya mengatasi cabaran dan mampu mengurangkan kos mereka,” katanya lagi.

Perodua turut ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mengiktiraf sumbangannya kepada ekosistem selama ini.

Ativa berasal daripada bahasa Portugis yang bermaksud aktif. Pengeluar kenderaan itu  percaya setelah anda memandu uji Perodua Ativa, anda akan yakin bahawa model ini sesuai dengan gaya hidup aktif di bandar.  

Ativa merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua, model pertama Perodua yang menggunakan CVT dan model pertama Perodua yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard tersebut.

Semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 km/l, menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima Perodua.

Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua Ativa. Ia terdapat pada semua varian buat julung kali.

ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi (sehingga 120 km/j untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki) berbanding sistem ASA 2.0. Sistem itu kini boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam.

Pada semua varian juga dilengkapi enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention.

Varian H dan AV mempunyai Adaptive Driving Beam, paparan multi-info TFT tujuh-inci dan sistem infotainment skrin sesentuh sembilan-inci dengan voice recognition. Varian AV secara eksklusif mempunyai  Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Dengan Ativa kini sebahagian daripada keluarga Perodua, pengeluar kenderaan itu menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM6.5 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan tahun ini.

GALERI

Google ads
Back to top button