Pandu Uji

GAC GS3 EMZOOM, REKAAN FUTURISTIK

GAC GS3 Emzoom yang ada pada hari ini bukanlah model pertama yang dihasilkan, ia adalah evolusi rekaan yang jauh lebih agresif jika dibandingkan dengan generasi pertama yang nampak lebih bosan. Rekaan suv ini nampak lebih disasarkan kepada generasi baru dan muda yang lebih mudah menerima pembaharuan dalam hidup.

Dengan inspirasi rekaan geometrik dan garisan lurus agresif, secara keseluruhan GAC GS3 Emzoom boleh dinobatkan sebagai sebuah crossover dengan rekaan yang paling bergaya pernah dihasilkan dari negara China

Rekaan agresifnya seimbang dari depan, sisi dan juga bahagian belakang, apatah lagi ia mengenakan kemasan yang sporti dalam varian Premium R. Kredit harus diberikan kepada GAC kerana membawa masuk Pontus Fontaeus yang bertindak mengetuai GAC Advanced Design Center di Los Angeles dan juga Pengarah Teknikal GAC R&D Center China

Pontus berupaya menghasilkan rekaan yang moden hasil pengalamannya ketika bekerja di GM, Renault, Kia, Volvo, dan juga Faraday Future. Hasilnya jeriji depan GAC GS3 Emzoom direka dengan rekaan tersendiri, mungkin dipengaruhi sedikit dari Volvo, dinamakan sebagai Flywing Front Grille.

Kedudukan lampu digantikan dengan lampu LED DRL bersimetri manakala lampu utama Laser Eye Headlight diposisikan di bahagian bampar depan. Untuk rekaan sisi, penutup plastik di bahagian perumah tayar dibuat secara minima selain semua tombol pintu disembunyikan apabila tidak digunakan

Bumbung di bahagian belakang pula menguncup ke belakang dan digabungkan dengan rekaan tiang C yang digelapkan serta diumpil ke atas, memberikan imej sebuah kereta hatchback sport.

Kemasan di bahagian belakang disudahkan dengan rekaan ducktail design, spoiler berbentuk sayap jet pejuang dan lampu brek ke tiga dengan rekaan sama seperti yang digunakan oleh F1. Ia dikemaskan lagi dengan ekzos berkembar lengkap dengan sistem injap yang boleh menghasilkan runut bunyi garang

Secara keseluruhan rekaan GAC GS3 Emzoom nampak seperti coupe crossover yang agresif dan sentiasa menjadi perhatian pada pemandu yang lain

Rekaan unik GAC ini diteruskan pada rekaan dalaman terutama pada papan pemuka yang mengambil inspirasi daripada BMW dan juga Volvo. Papan pemuka dipasang rendah, memberikan pandangan yang luas di depan namun pada masa yang sama ruang kaki masih lagi luas

Butang fizikal masih digunakan untuk mengoperasi ciri penyaman udara, namun tidak disertakan dengan ciri paparan digital kekal. Tombol gear pula direka dengan menggunakan kristal, tetapi sayangnya ia tidak dipasang dengan lampu untuk bersinar pada waktu malam

Skrin multimedia ditawarkan dengan saiz 10.25″ lengkap dengan sambungan Apple Car Play tanpa wayar serta sistem bunyi dengan 6 pembesar suara DTS. Ciri moden yang lain termasuklah pengecas telefon tanpa wayar, skrin meter 7 inci, bumbung panaromik dan juga lampu kabin

Kusyen pula ditawarkan dengan ciri bantuan kuasa elektrik serta rekaan kontur yang ergonomik untuk mengurangkan rasa lesu bila memandu jarak jauh. Lantai di ruang belakang adalah rata, menawarkan ruang yang selesa untuk 3 penumpang selain tempat penyandar yang cukup selesa

Jika tidak digunakan, ia menawarkan ciri perehat tangan selain boleh dilipat bagi membesarkan ruang kargo daripada 341 liter kpada 1271 liter. Hanya soket Type C disediakan di bahagian belakang untuk mengecaj telefon pintar selain 1 corong penyaman udara.

GAC dikuasakan dengan enjin 1500cc 4 silinder turbo, menjana sekitar 175 kuasa kuda dan 270Nm tork sekaligus meletakkan crossover ini bersaing dengan HR-V, X-50 dan Chery Omoda

Bacaan purata penggunaan bahan api ialah sekitar 13.1km/liter manakala bacaan rasmi yang dikeluarkan oleh GAC ialah 17km/liter, walaupun penulis sedaya upaya untuk memandu secara berhemah

Menemani enjin ini ialah transmisi 7 kelajuan DCT, tetapi sayangnya ia tidak diberikan ciri paddleshifter bagi menjadikan pemanduan lebih dinamik. Sama seperti transmisi DCT yang lain, operasi gear adalah tidak lancar pada halaju rendah dan respon pergerakan adalah 0.5 saat lambat selepas pedal minyak ditekan

Jika penulis memilih untuk memandu dalam mode Eco, maka respon adalah lebih lambat. Jadi adalah lebih baik untuk kekal memandu dalam mode Normal ataupun Sport. Stering yang disediakan dalam diamter yang sedap digenggam namun responnya berubah mengikut kelajuan

Jika anda memandu perlahan, operasinya lancar dan normal. Jika anda memandu laju dan menggunakan mode Sport ia akan cuba memberikan rasa pemanduan yang sporti. Namun akhirnya rasa tersebut terlalu palsu

Rasa stering adalah sama seperti memandu Myvi Lagi Best pada tahun 2011, ketika Perodua pertama kali menggunakan stering yang dikuasakan motor elektrik. Sama seperti model crossover lain, GAC menggunakan tetapan torsion beam pada gandar belakang

Namun respon suspensi terhadap input stering di selekoh adalah bagus, cepat dan pada masa yang sama masih lagi memberikan keseronokan apatah lagi digabungkan dengan stering dengan ratio pendek. Ia boleh membelok dengan pantas walaupun hanya menggunakan torsion beam

Cubaan penulis membelok dengan pantas di selekoh menyebabkan ekor belakang GAC terbabas sedikit keluar sebelum ditangkap semula oleh sistem ESC. Namun ia akan menyebabkan anda tersengih selepas aksi “fishtail” yang selamat

Namun ketika memandu laju, sistem suspensi adalah lembut dan menyerap kcacatan permukaan jalan dengan baik. Cuma ketika memandu perlahan barulah anda rasa penyerap hentak sebenarnya ditala dengan keras sedikit, menyebabkan penumpang belakang terasa terhentak

Untuk menjadikan pemanduan lebih mengujakan, anda boleh mengaktifkan butang bagi menjadikan ekzos lebih nyaring dan padu nyata dan bukannya bunyi palsu pada pembesar suara. Terdapat satu injap yang boleh melaraskan aliran gas ekzos bagi menghasilkan bunyi yang garang

Dalam aspek keselamatan GAC diberikan ciri brek kecemasan automatik, Traffic Sign Recognition, Lane Departure Warning dan Intelligent Speed Limit Control. Malah ia turut disediakan dengan ciri Park Assist bagi membantunya memarkir dengan tepat. Pendek kata GAC adalah cukup lengkap dengan semua ciri keselamatan aktif.

Bagi sebuah kereta yang diubahsuai dari pemanduan sebelah kiri ke sebelah kanan, usaha GAC adalah cukup bagus dengan memindahkan stering dari kiri ke kanan dan menyediakan ruang “glovebox” yang cukup besar.

Namun dalam beberapa aspek GAC perlu memperbaiki beberapa ciri lain seperti memasang paddleshifter, menjadikan pemanduan lebih lancar dengan menjadikan respon pedal lebih “linear” dan juga menyediakan ciri Android Auto

Namun dari segi harga, ia adalah crossover yang boleh dipertimbangkan pada harga RM 129,000 lengkap dengan jaminan selama 5 tahun atapun sehingga jarak perbatuan sejauh 150,000km. Bagi pembeli 2000 terawal, jaminan ini dinaikkan sehingga 180,000km dan 3 tahun servis percuma

Google ads
Back to top button