
PERODUA NAIK KE KEDUDUKAN NO.2 DALAM JUALAN KERETA PENUMPANG DI ASEAN
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam industri automotif serantau apabila berjaya menduduki tempat kedua dalam jualan kereta penumpang di ASEAN bagi tahun 2024.
Perodua berjaya mencatat hasil jualan sebanyak 358,000 unit tahun 2024, meningkat daripada 330,000 unit pada tahun 2023.
Peningkatan ini membolehkan syarikat automotif nasional itu melonjak satu anak tangga daripada kedudukan ketiga tahun lalu, mengatasi Honda yang kini berada di tempat ketiga dengan jualan 303,000 unit.

Toyota terus mendominasi pasaran ASEAN dengan jualan sebanyak 714,000 unit pada tahun 2024, mengekalkan kedudukan sebagai jenama terlaris di rantau ini.
Sementara itu, Mitsubishi berada di tempat keempat dengan 200,000 unit terjual, diikuti oleh Proton di kedudukan kelima dengan jualan 148,000 unit.
Pencapaian Perodua ini disumbangkan oleh permintaan tinggi terhadap model-model popularnya seperti Bezza, Axia dan Myvi, yang kekal sebagai pilihan utama dalam segmen kenderaan mampu milik.
Selain itu, strategi agresif syarikat dalam memperkukuhkan rangkaian pengedaran dan meningkatkan kapasiti pengeluaran turut membantu dalam melonjakkan jualan.

Perodua juga memainkan peranan penting dalam membantu pengedar menambah baik operasi mereka, termasuk memperkenalkan operasi tunggal yang menyatukan jualan, perkhidmatan, dan alat ganti untuk memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan.
Bukan itu sahaja, Perodua juga menggalakkan generasi muda untuk meneruskan legasi perniagaan keluarga, menunjukkan komitmen syarikat itu terhadap pertumbuhan jangka panjang.
Melihat kepada prestasi positif ini, Perodua dijangka terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran ASEAN dengan memperkenalkan lebih banyak model baharu serta meningkatkan daya saingnya dalam industri automotif yang semakin sengit.