
PERODUA KINI JENAMA AUTOMOTIF TERBAIK DI ASEAN, ATASI TOYOTA DAN BMW
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama automotif terkemuka apabila dinobatkan sebagai jenama automotif terbaik di Asia Tenggara berdasarkan skor keseluruhan tahun 2024, mengatasi jenama-jenama gergasi seperti Toyota, Honda, dan BMW.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Milieu Insight untuk Campaign Asia Pacific, Perodua memperoleh skor keseluruhan tertinggi sebanyak 58.3 mata, menjadikannya jenama automotif paling dipercayai dan digemari di rantau ini.
Pengeluar asal Jepun, Toyota mengekori rapat, berada di tempat kedua dengan 57.0 mata, diikuti oleh Honda (56.7), Geely (53.9), BMW (51.8) dan Mercedes-Benz (50.3).
Proton pula menduduki tempat ketujuh dengan skor 48.5, manakala Tesla (44.6), Audi (44.1) dan Ford (43.3) melengkapkan senarai sepuluh jenama teratas.

Pencapaian ini mencerminkan daya saing Perodua dalam menawarkan kenderaan yang berkualiti tinggi pada harga mampu milik, sejajar dengan kehendak pasaran serantau.
Bagi kekal relevan dalam industri automotif yang semakin berkembang, Perodua bakal terus melabur dalam inovasi dan memperluaskan penawaran dengan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pada masa akan datang.
Pada acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) yang berlangsung Disember lalu, Perodua telah pun memperkenalkan prototaip kenderaan bateri elektrik, dikenali sebagai eMO-II.
Prototaip terbaharu ini mempunyai penggayaan yang lebih kemas yang menggabungkan ciri estetik abad ke-21 dengan keunikan Malaysia.
EV pertama Perodua itu dijangka ditawarkan pada harga bawah RM90,000 seunit dan jentera itu akan dibina di kilang Perodua yang baru.
Pencapaian Perodua dalam mengatasi jenama-jenama global seperti BMW dan Mercedes-Benz mencerminkan keyakinan pengguna terhadap jenama tempatan.
Dengan momentum yang positif ini, Perodua dijangka terus mengukuhkan dominasinya di pasaran ASEAN, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab automotif serantau.