" "
Buletin

MAZDA JANJI MX-5 AKAN DIKEKALKAN PENAWARANNYA

Dengan pengenalan model konsep Vision Study, ia sedikit sebanyak memberikan petanda bahawa Mazda masih lagi berminat menghasilkan kereta sports yang mengujakan pemiliknya.

Para peminat model pacuan roda belakang ini usah terlalu risau, kerana CEO Mazda Eropah sendiri mengesahkan penawaran model kereta sports tersebut tidak akan dihentikan.

Bercakap kepada Autocar ketika acara Brussels Motor Show yang baru berlangsung tempoh hari, Martijn ten Brink menjelaskan Mazda MX-5 akan kekal menjadi sebahagian daripada barisan produk Mazda.

Namun, beliau juga sebenarnya ingin tahu apakah pendekatan yang bakal dibawakan untuk model generasi berikutnya.

Buat masa ini, model MX-5 generasi ND akan terus dikekalkan dengan resepi yang sama – enjin aspirasi natural, pacuan roda belakang dan transmisi manual yang terbaik di dalam industri.

Seperti pengeluar lain Mazda juga terpaksa berdepan dengan regulasi Euro 7 yang lebih ketat.

Untuk itu, pengarah yang turut merangkap pegawai eksekutif pengurusan kanan Mazda, Yasuhiro Aoyama mencadangkan tetapan elektrifikasi diperkenalkan pada model tersebut kelak.

Namun begitu, untuk model generasi kelima Miata NE Mazda menjanjikan akan mengekalkan konfigurasi pacuan roda belakang serta enjin pembakaran dalaman tulen. – Autocar

Google ads
Back to top button