Buletin

PESAWAT MALAYSIA DIARAH MENDARAT DI BATAM. MASUK RUANG UDARA ‘TAK BAGI SALAM’

Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara memerintahkan pesawat asing yang terbang dari Kuching Ke Senai, Malaysia untuk segera mendarat di Pangkalan Udara Hang Nadim, Batam.

Berdasarkan kenyataan rasmi, pesawat dengan nombor pendaftaran G-DVOR jenis DA62 adalah kepunyaan syarikat Malaysia, lapor Kompas.com.

Pesawat tersebut diterbangkan oleh juruterbang warga Britain dan diperintahkan mendarat di Batam kerana sudah memasuki wilayah udara Indonesia tanpa izin.

Ketua Perkhidmatan Maklumat Tentera Udara Indonesia, Indan Gilang Buldansyah berkata, pesawat itu juga didapati tidak memiliki kelengkapan dokumen penerbangan.

Jelasnya, pihaknya akan sentiasa mengawal dan memantau ruang udara di wilayah negara itu.

“Apatah lagi, Indonesia adalah sebuah negara berdaulat yang wajib menjaga wilayahnya termasuk ruang udara.

“Apa yang berlaku di pangkalan udara itu menunjukkan betapa tinggi kesiapsiagaan TNI dalam menjaga setiap inci wilayah udara negara.

“Kita tidak akan bertoleransi terhadap setiap bentuk pelanggaran wilayah udara,” katanya. –UTUSAN

Google ads
Back to top button