Motosikal

MFORCE LANCAR JENTERA TOURING QJMOTOR SRT800. 2 VARIAN, 75.1HP, BERMULA RM39,888

Selepas pelancaran QJMOTOR SRK600 baru-baru ini, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. hari ini melancarkan pula sebuah motosikal adventure/touring iaitu QJMOTOR SRT800 ke pasaran Malaysia.

Pelancaran itu dibuat sempena pembukaan rasmi Benelli Best Shop Shah Alam oleh ICity Motoworld. Ia merupakan Benelli Best Shop yang ketiga di Selangor.

SRT800 didatang dalam dua varian iaitu Standard dan X. Jentera itu boleh anda miliki pada harga bermula RM39,888 untuk versi Standard dan RM42,888 untuk X.

Kedua-dua varian tersebut menggunakan enjin bersesaran 754cc, DOHC 2 silinder sebaris, 8-injap yang mampu menjana kuasa maksimum 75.1hp pada 8,500rpm dan tork 67Nm pada 6,500rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

SRT800 dan SRT800 X memiliki spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang sama. Antaranya, suspensi hadapan jenis terbalik (USD) yang mampu menyerap hentakan lebih baik dan memberikan pengendalian tunggangan yang cemerlang.

Suspensi belakang pula menggunakan lengan hayun yang membantu untuk menyokong kestabilan motosikal lebih-lebih lagi ketika melalui permukaan jalan tidak rata.

Sistem brek terdiri daripada brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran serta angkup Brembo untuk keselamatan maksimum. Tayar hadapan dilengkapi dua cakera bersaiz 320mm dan 260mm di belakang.

Motosikal touring itu menawarkan reka bentuk ergonomik untuk tunggangan yang selesa terutama untuk jarak jauh. Sistem Assist & Slipper Clutch juga membantu memudahkan penukaran gear dengan lebih pantas.

QJMotor SRT800 hadir dengan meter TFT bersaiz 5 inci dengan tiga pilihan mode iaitu siang, malam ataupun auto. Dalam mode Auto, skrin akan berubah mengikut tahap kecerahan cahaya tanpa mengira cuaca ataupun kelajuan.

Kelangkapan lain yang ada ialah port USB untuk mengecas telefon pintar semasa menunggang. Tangki bahan api 18.5 liter tidak memerlukan penunggang untuk kerap berhenti di stesen minyak.

Perbezaan paling ketara di antara SRT800 Standard dan SRT800 X ialah saiz tayar dan jenis rim. Versi Standard dipasang dengan rim loi dengan tayar bersaiz 120/70-R17 (hadapan) dan 180/55-R17(belakang).

Versi X menggunakan rim lidi yang dibalut oleh tayar bersaiz 110/80-R19 (hadapan) dan 150/70-R17 di belakang. Perbezaan seterusnya ialah ketinggian pelana dengan versi X (835mm) dan versi Standard (810mm). Manakala  ketinggian keseluruhan pula ialah  (X  – 1405mm) dan (Standard – 1390mm).

Berat versi X ialah 260kg, sementara versi Standard seberat 254kg.

QJMOTOR SRT800 didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu bagi versi Standard; kelabu (Stone Grey) dan merah (Passion Red). Manakala varian X hadir dalam warna biru (Navy Blue) dan hijau (Cadmium Green).

Jentera itu juga dilengkapi set lengkap kotak atau coocase yang bakal berada di pasaran pada pertengahan Julai depan. Tempahan sudah boleh dibuat di mana- mana pengedar sah MForce di seluruh Malaysia.

Dengan setiap pembelian QJMotor SRT800, pelangga akan menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (mana-mana tiba dahulu) serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.

GALERI

Google ads
Back to top button