Buletin

PETALING JAYA CATAT REKOD KES CURI KENDERAAN TERTINGGI DARI JANUARI HINGGA MEI

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mendedahkan bahawa Petaling Jaya mencatatkan rekod jumlah tertinggi bagi kes curi kenderaan sejak Januari hingga Mei tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 113 kes membabitkan kecurian motosikal manakala 60 kereta dan 12 van dilaporkan hilang dalam tempoh itu.

“Paling banyak kes curi motosikal terutama di kawasan flat serta projek perumahan rakyat (PPR) sementara kecurian dalam bangunan merekodkan 146 kes berikutan daerah ini mempunyai banyak pusat membeli-belah.

“Kegiatan curi motosikal ini selalunya untuk mendapatkan alat ganti untuk kegunaan sendiri atau dijual semula,” katanya.

Tambahnya, “Selain itu, kes pecah rumah mencatatkan sebanyak 105 kejadian, samun dan ragut (54), mencederakan (36), serta rogol (14).

“Bagaimanapun polis berjaya mengurangkan kadar indeks jenayah di Petaling Jaya daripada 564 kes tahun lalu kepada 539 iaitu pengurangan sebanyak 4.43 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei.”

Jelas Fakhrudin lagi, objektif utama pihaknya adalah mengurangkan ‘fear of crime’ dan pada masa sama meningkatkan keyakinan dalam kalangan masyarakat terhadap polis.

“Tahun lalu pengurangan kadar indeks jenayah sebanyak lapan peratus kepada 1,562 kes berbanding 1,712 kes pada 2021.” – Harian Metro

Google ads
Back to top button