Buletin

REMAJA 14 DAN 17 TAHUN BERJAYA DICEKUP, CURI MOTOSIKAL UNTUK BERAYA

Semata-mata untuk bergaya pada Aidilfitri, tiga lelaki termasuk dua daripada mereka masih remaja, sanggup mencuri motosikal di sekitar Iskandar Puteri.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga seorang anggota polis, mendakwa motosikalnya telah hilang di bawah rumah dekat Pangsapuri Merak, Bandar Baru Kangkar Pulai.

“Pengadu mendakwa motosikalnya ditinggalkan dalam keadaan berkunci di bawah blok pangsapurinya, namun dipercayai hilang akibat dicuri.

“Bertindak atas maklumat, kita berjaya menahan seorang suspek sebelum membuat satu lagi serbuan dengan seorang lagi suspek ditahan bersama tiga motosikal,” kata Rahmat Ariffin.

Tambah beliau lagi, “Motosikal hasil curian adalah untuk kegunaan mereka sendiri semasa perayaan Aidilfitri,”

Modus operandi ketiga-tiga suspek berusia 14, 17 dan 21 tahun itu menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang parkir di tempat letak motosikal di bawah blok pangsapuri atau di kawasan masjid.

Ketiga-tiga suspek bagaimanapun, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini sedang direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Harian Metro

Google ads
Back to top button