
PETRON, KLEAN JALIN KERJASAMA – SEDIA REVERSE VENDING MACHINE (RVM) UNTUK GALAK ORANG RAMAI MENGITAR SEMULA
Petron Malaysia baru-baru ini mengaktifkan mesin layan diri pertama (Reverse Vending Machine – RVM) yang berasaskan AI di stesen minyak Petron Lebuh Bandar Utama, sebagai salah satu usahanya di dalam mempromosikan kitar semula plastik.
Petron bekerjasama dengan Klean Malaysia untuk menggalakkan lebih ramai orang mengitar semula melalui sistem deposit kontena digital.
Pelanggan boleh mengitar semula bekas makanan plastik, botol polyethylene terephthalate (PET), tin aluminium di RVM dan mengumpul mata ganjaran melalui Aplikasi Kitar Semula Klean untuk penebusan baucar.
Inisiatif baharu Petron Malaysia ini bertujuan untuk memupuk sifat kitar semula dalam tingkah laku masyarakat, yang mana ia merupakan langkah pertama ke arah pelaksanaan ekonomi kitaran.

Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek berkata, ia selari dengan komitmen syarikat Petron untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 11 dan 12 dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 ke arah kitaran plastik.
Untuk rekod, pada bulan Disember tahun lepas, pengedar stesen minyak Petron di wilayah selatan telah mengadakan Kempen “Rehydrate and Recycle” selama 3 bulan untuk mendidik pelanggan menjadi pengguna plastik yang bertanggungjawab.
Pada penghujung kempen, sebanyak 255-kilogram penutup botol plastik telah berjaya dikumpul dan ia diproses semula menghasilkan 16 bangku, dan seterusnya disumbangkan kepada kerajaan negeri Johor.
RVM yang berasaskan AI disokong oleh mekanisme pembelajaran mesin, ia membolehkan pengesanan jenis bahan dengan serta merta untuk botol plastic yang dimasukkan.
RVM kemudian mencatat dan mengumpul data masa nyata seperti bilangan pengitar semula, kuantiti plastik dan aluminium yang dimasukkan ke dalam mesin serta anggaran penghindaran jejak karbon.
Selain itu, Klean adalah satu-satunya syarikat yang memperoleh 100 peratus status pengecualian cukai daripada Kementerian Kewangan Malaysia dalam industri ekosistem RVM.
Dalam beberapa bulan akan datang, Petron menyasarkan untuk memasang mesin Klean ini di sekitar 100 lokasi di Lembah Klang dengan tujuan untuk memupuk kelestarian alam sekitar dalam komunitinya.
- BACA: PEMANDU TERSELAMAT WALAUPUN KERETA DIPANDU TERJUNAM KE DALAM GAUNG – TOLONG BERI PERHATIAN SEMASA MEMANDU
- BACA: TUNGGANG UJI: KTM 390 DUKE 2024 DI ALMERIA
- BACA: SEGALANYA MUDAH DENGAN EON CAPITAL – SASAR 500 TEMPAHAN SEPANJANG ACARA EON & SAHABAT AUTOFEST 2024
- BACA: EON & SAHABAT AUTOFEST 2024 SEDIA PAKEJ DISKAUN MENARIK UNTUK PENGUNJUNG