
TUNGGANG UJI: KTM 390 DUKE 2024 DI ALMERIA
“90 peratus baharu”.
Demikian kata-kata pembuka yang diutarakan jurutera projek pembangunan KTM 390 Duke generasi terbaru sebaik kami tiba di Almeria, Sepanyol.
Ya, kami (media antarabangsa) diberitahu bahawa generasi terbaru KTM 390 Duke 2024 ini adalah 90 peratus berbeza dari generasi sebelumnya.
Bagi mengesahkan kenyataan itu, kami diberi peluang menunggang 390 Duke 2024 sejauh 150km menyelusuri jalan berliku sekitar kawasan pergunungan di Nijar, Almeria.

Tanggapan pertama
Secara peribadi, KTM 390 Duke 2024 ini masih lagi mengekalkan sifat keterujaan yang sama seperti sebuah jentera berkuasa tinggi. Namun, generasi terbaru ini lebih laju, lebih cekap dan mempunyai keupayaan membrek yang jauh lebih baik.
Namun begitu, 390 Duke ini kekal sebagai motosikal terbaik bagi ‘rinder’ yang mahu berjinak dengan jentera berkuasa tinggi.
Apa yang kami suka, 390 Duke ini dilengkapi dengan beberapa kelengkapan yang selalunya dijumpai pada jentera lebih besar termasuk suspensi boleh laras, cornering ABS dan traction control boleh laras. Tidak dilupakan, model 2024 ini turut dilengkapi dengan fungsi launch control.

Pengalaman menunggang
Kerangka pada 390 Duke 2024 ini lebih kukuh dan kompak kerana menggabungkan casis depan jenis steel trellis dan ‘subframe’ belakang jenis aluminium.
Penggunaan swingarm yang lebih melengkung pula menyumbang kepada ruang bawah yang lebih luas sekaligus membolehkan KTM menaik taraf kotak udara kepada yang lebih besar. Hasilnya, tempat duduk juga lebih rendah turun dari 830mm kepada 820mm.

Suspensi depan jenis USD dari WP kini menawarkan pelarasan manual 5 peringkat bagi ‘rebound’ dan ‘compression’ sementara penyerap hentak belakang menawarkan pelarasan ‘rebound damping’ dan ‘preload’.
Berbanding pesaing lain dalam segmen yang sama, 390 Duke baharu ini terasa lebih lincah dan cekap terutamanya ‘handlebar’ yang kini lebih ringan dan brek ByBre yang lebih mencengkam.
Menariknya, tayar Michelin Power 6 yang didatangkan secara standard turut menawarkan cengkaman yang mengagumkan walaupun pada satu ketika permukaan jalan agak licin di samping cuaca sejuk bawah 5-darjah selsius.

Rupa bentuk
Reka bentuk model keluaran 2024 ini lebih garang dan agresif terutamanya panel sisi yang lebih bersegi dan panjang. KTM juga memindahkan cakera brek dan kaliper depan ke sebelah kanan lantas kelihatan selari dengan penyerap hentak belakang yang kini diposisikan di bahagian tepi (kanan) berbanding di tengah-tengah sebelum ini.
Tangki juga dinaik taraf kepada 15L dan menawarkan jarak tunggangan antara 300 hingga 400km bagi setiap tangki penuh (bergantung kepada cara menunggang).
Bagi saiz rakyat Malaysia, ergonomik 390 Duke ini memang cukup sesuai tetapi mungkin sedikit mencabar bagi yang ketinggian 180cm ke atas. Ini kerana penunggang yang tinggi mungkin akan berasa sedikit sempit.

Enjin
Bagi tahun 2024, 390 Duke dikuasakan enjin LC4 satu silinder yang lebih ringan namun berkuasa ekoran kapasiti enjin naik dari 373cc kepada 399cc dengan memanjangkan stroke kepada 64mm. Kuasa pula meningkat dari 42hp kepada 45hp.
Bagi penunggang yang kurang pengalaman, kuasa dihasilkan masih lagi mudah dikendalikan dan respon ‘throttle’ juga masih lagi mesra.
Walaupun kuasa puncak hampir sama dengan generasi terdahulu namun platform baharu ini lebih lancar. Paling penting, 390 Duke ini lebih mudah untuk melakukan aksi wheelie pada gear ketiga.

Ketahanan
Selepas menghabiskan satu hari di Almeria bersama KTM 390 Duke 2024 ini, apa yang pasti model baharu ini rasa lebih premium dan berkualiti tinggi.
Setiap bahagian motosikal ini terasa seakan jentera yang jauh lebih mahal. Buat masa ini belum ada harga rasmi diumumkan untuk pasaran tempatan namun kami diberitahu KTM Malaysia akan memperkenalkan model baharu ini tidak lama lagi.

Elektronik
Antara peningkatan terbanyak dilakukan tahun ini adalah pakej elektronik ditiawarkan. Kelengkapan standard merangkumi panel meter TFT 5-inci dengan fungsi Bluetooth bagi mengakses sistem navigasi, jawab panggilan dan kawalan muzik.
Terdapat tiga mod ditawarkan termasuk Street, Rain dan Track. Namun kesukaan kami adalah fungsi Launch Control yang menghadkan ‘rev’ kepada 7,000rpm pada gear pertama sebelum berlepas.
Cornering ABS dan Supermoto ABS kini didatangkan secara standard dan boleh dinyahaktifkan mengikut kesesuaian.
Sayangnya, quickshifter tidak didatangkan secara standard dan hanya sebagai opsyen tambahan.

Rumusan
Apa yang kami boleh nyatakan, KTM 390 Duke 2024 ini bukan lagi seperti model sebelumnya yang sememangnya dibina agar lebih mudah diakses oleh semua peringkat.
Sebaliknya, generasi baharu ini terasa lebih premium, lebih lasak dan paling penting menawarkan pelbagai ciri yang selalunya hanya ada pada motosikal bersesaran 650cc ke atas.
Apa yang pasti, slogan iklan (tagline) #NoBullshit merupakan terma tepat dalam menjelaskan 390 Duke 2024 ini .







