Buletin

PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA KINI KEMBALI! 21-23 OKTOBER, BANYAK ACARA MENARIK MENANTI ANDA

Edisi ke-23 acara sukan permotoran antarabangsa yang paling lama dianjurkan, PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA 2022 yang berlangsung pada 21–23 Oktober telah dilancarkan secara rasmi di Dewan Filharmonik PETRONAS baru-baru ini.

Ia menyaksikan kemunculan PETRONAS sebagai penaja utama setelah mencapai perjanjian dengan pemegang hak MotoGPTM, Dorna Sports awal tahun ini. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut mengumumkan pelumba Malaysia, Syarifuddin Azman (Damok), telah diberikan penyertaan secara wildcard dalam Kejohanan Dunia Moto3. Pelumba berusia 21 tahun itu kini menduduki tempat kedua dalam FIM JuniorGP.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, “Tahun ini menandakan tahun pertama PETRONAS sebagai penaja utama untuk Grand Prix. SIC bersedia untuk #WelcomeHome semua peminat sukan permotoran tempatan dan antarabangsa ke Sepang selepas dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19. Kami akan memastikan kualiti Grand Prix Malaysia berada pada tahap tertinggi.”

“Dengan tiada pelumba Malaysia bersaing musim penuh dalam Kejuaraan, saya percaya Damok akan menjadi tarikan kepada rakyat Malaysia,” tambah Shafriman.

Aktiviti luar trek yang khas untuk peminat bermula dengan pra-acara pada minggu perlumbaan pada Rabu iaitu Public Cooking Contest yang menampilkan pelumba MotoGP di Pavilion Kuala Lumpur. Public Pit Lane Walk dan Sesi Autograf Penunggang pula akan berlangsung pada 21 Oktober 2022 di mana peminat boleh mendekati penunggang kegemaran mereka.

Karnival Mega MotoGP dengan lebih 100 jenama terkenal dan pengalaman Jelajah Trek Malam Jumaat, 21 Oktober hingga Sabtu, 22 Oktober 2022 turut kembali diadakan.

Tahun ini, SIC berbangga menjadi Grand Prix pertama yang mempersembahkan pengalaman gaya hidup baharu dan festival yang menggabungkan makanan dan budaya tempatan, luaran, muzik secara langsung, instalasi seni dan pengaktifan unik di bawah satu bumbung.

Acara paling menarik pastinya Cabutan Bertuah Mega #MalaysianGP2022 di mana dua pemenang akan memenangi motosikal Yamaha NVX dan Y15ZR dengan livery edisi terhad SIC bernilai RM22,000.

Sempena Hari Merdeka, SIC menjalankan promosi istimewa bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2022 dan tiket boleh dibeli di www.sepangcircuit.com

Google ads
Back to top button