Motosikal

DATA TERBARU SAHKAN KAWASAKI VERSYS 1100 – ENJIN 1,099CC, 133HP

Laporan mengenai Kawasaki Versys 1100 mula berlegar sekitar bulan Ogos lalu selepas Kawasaki didapati telah memfailkan dokumen baharu di Australia. Bagaimnapun, dokumen tersebut tidak menyatakan kapasiti enjin model baharu itu secara terperinci. 

Namun, dokumen tersebut telah pun diluluskan di Australia dan maklumat terperinci akhirnya disiarkan termasuk gambar Versys 1100 berkenaan. 

Menurut data dikongsikan, Versys 1100 bakal dikuasakan enjin 4-silinder 1,099cc baharu menggantikan platform 1,043cc sebelum ini. Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 56cc berbanding genersi sebelumnya. 

Meskipun data tersebut tidak memaklumkan bagaimana kapasiti 1,099cc itu dicapai namun berdasarkan kiraan kami berasakan Kawasaki telah memanjangkan stroke dari 56mm kepada 59mm di samping mengekalkan bore pada 77mm. 

Menariknya, walaupun peningkatan kapasiti enjin itu tidak signifikan namun data tersebut mendedahkan kuasa puncak dihasilkan meningkat kepada 133hp berbanding 118hp sebelum ini. 

Sementara itu, berdasarkan gambar yang hadir bersama dokumen diterbitkan di Australia jelas membuktikan bahawa Kawasaki Versys 1100 hadir dengan reka bentuk sama dengan Versys 1000.

Dalam pada itu, kami menjangkakan bahawa platform 1,099cc baharu itu akan turut diguna pakai pada model lain antaranya Ninja 1100 SX serta Z 1100. 

Google ads
Back to top button