Buletin

PIPER M-CLASS PESAWAT KOMERSIAL PERTAMA KUASA HIDROGEN

Sebuah pesawat komersial berkuasa hidrogen pertama dunia membuat penerbangan sulung di sebuah kawasan di Cranfield, daerah Bedfordshire pada Khamis lalu.

Pesawat M-class dengan enam tempat duduk berkenaan hanya mengeluarkan wap air dan mampu memelihara alam sekitar.

Penerbangan selama 20 minit tersebut menyaksikan proses pelepasan yang lengkap dengan laluan standard sebelum melakukan pendaratan.

Pengasas syarikat ZeroAvia, Val Miftakhov berkata, penerbangan tersebut adalah sesi percubaan pertama sejak pesawat itu dibangunkan.

“Apa yang kami lakukan adalah menggantikan enjin menggunakan bahan api fosil dengan enjin elektrik berkuasa hidrogen.

“Kami turut membina infrastruktur pengisian semula untuk menghasilkan gas hidrogen yang mempunyai sifar pencemaran karbon,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menyasarkan pembinaan pesawat itu akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

“Orang ramai boleh pergi bercuti menaiki pesawat tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan alam sekitar lagi dan ia dijangka boleh dicapai dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Cabaran paling besar adalah untuk menyediakan infrastruktur di lapangan terbang yang membolehkan pesawat mengisi semula gas hidrogen,” ujarnya. – daily star

Google ads
Back to top button