Buletin

POLESTAR 2 ARCTIC CIRCLE – KERETA RALI ELEKTRIK ATAS SALJI!

Setelah memperlihatkan sebuah model binaan one-off Experimental Polestar di Goodwood Festival of Speed tahun lalu, Polestar kini tampil dengan sebuah lagi binaan one-off yang tampak seperti jentera rali.

Untuk itu, Polestar 2 Arctic Circle didatangkan dengan beberapa perubahan, seperti sistem suspensi 30 mm lebih tinggi berbanding model produksi, rim OZ Racing bersaiz 19 inci, serta tayar 245/35 R19 yang menampilkan tidak kurang daripada 490 paku per tayar.

Selain daripada itu, unit peredam Ohlins telah ditala supaya 30 peratus lebih lembut berbanding set standard, dibantu dengan sistem brek Brembo empat omboh, serta sistem launch control yang boleh diaktifkan menerusi paddle shifter.

Polestar 2 Arctic Circle ini menggunakan asas daripada model Polestar Long Range Dual Motor yang menampilkan motor elektrik berkembar, dengan output setinggi 469 hp dan 680 Nm.

Melengkapi rupa paras yang agresif ini adalah pemasangan lampu LED di bahagian hadapan, perlindungan bawah badan daripada gentian karbon, serta tempat duduk Recaro jenis bucket dengan kemasan warna arang.

Sayang sekali, Polestar tidak berniat untuk memproduksikan model ini secara besar-besaran.

Google ads
Back to top button