" "
Buletin

POLIS BURU ALZA POTONG “DOUBLE LINE”, LANGGAR LAMPU MERAH DI REMBAU

Polis sedang mencari pemandu sebuah Perodua Alza yang dirakam melakukan kesalahan trafik di persimpangan lampu isyarat Kompleks Pentadbiran Daerah Rembau, di Jalan Seremban-Tampin, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pihaknya mengesan video tular mengenai kejadian itu sekitar pukul 8.30 pagi tadi. Berdasarkan kepada video tular itu,  MPV berkenaan didapati datang dari arah Seremban menghala ke Tampin.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, Alza tersebut telah memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar dan seterusnya bergerak dalam keadaan lampu isyarat masih merah.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Rembau telah membuka satu kertas siasatan di bawah Kaedah 17 LN 167/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hazri berkata, setakat ini, individu yang menularkan video berkenaan telah diambil keterangan dan usaha mengesan pemandu Perodua Alza terbabit sedang dijalankan.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi seminit yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza memandu secara melulu serta melakukan kesalahan trafik.

Video berkenaan turut memaparkan penumpang hadapan iaitu seorang wanita telah membuka tingkap kereta itu yang kemudian menunjukkan reaksi wajah memarahi pemandu kereta yang merakamkan video tersebut. – Utusan Online

Google ads
Back to top button