Buletin

PORSCHE CAYENNE CKD 2023 RASMI DILANCARKAN. V6 348HP/500NM, PILIHAN AKSESORI PORSCHE TEQUIPMENT, BERMULA RM600K

Porsche Malaysia atau Sime Darby Auto Performance hari ini melancarkan Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) baharu ke pasaran Malaysia.

Kereta sports ikonik untuk lima orang penumpang yang dipasang di kilang Porsche di Kulim, Kedah itu kini telah diperhalusi agar lebih mewah dan berprestasi tinggi. Ia hadir dengan konsep kawalan dan paparan digital, teknologi chasis baharu serta spesifikasi tempatan yang telah dipertingkatkan.

“Hanya selepas beberapa bulan melakukan debut di peringkat global, Cayenne pemasangan tempatan baharu tiba di Malaysia, sekali gus membuktikan betapa pentingnya pasaran ini dan rantau ASEAN,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif  Porsche Asia Pacific, Hannes Ruoff.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, Cayenne menjadi ikon tersendiri dan merupakan antara model penting dalam portfolio Porsche.

Model CKD tersebut dilengkapi pakej seperti Kawalan Jelajah Adaptif, pintu jenis soft-close dan Sport Chrono Package. Peralatan standard pada Cayenne CKD sebelum ini juga dikekalkan.

Sebagai contoh, tempat duduk kawalan elektrik 14 tetapan dengan ciri memori, sulaman logo Porsche pada perehat kepala kerusi hadapan, kawalan pendingin hawa empat zon dan bidai cermin belakang kawalan elektrik.

Cayenne CKD dikuasakan oleh enjin V6 bersesaran 3.0 liter turbo yang telah ditambah baik. Mampu menjana kuasa mencecah 348hp dan tork 500Nm (naik 13hp/50Nm berbanding sebelum ini), enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.

Aspek pengendalian dan keselesaan dipertingkatkan menerusi penggunaan suspensi jenis penyerap hentak dua injap dengan peringkat lantunan dan mampatan yang berasingan. Ia juga dilengkapi Porsche Active Suspension Management yang menerima kemaskini pengurusan pitch-dan-roll lebih baik sebagai standard.

Di bahagian hadapan, SUV mewah berkenaan dipasang dengan lampu utama LED Matrix bersama rekaan lebih tajam. Masuk ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan kluster meter digital bersaiz 12.6 inci dan skrin infohibur berukuran 12.3 inci.

Porsche Malaysia mengumumkan pakej personalisasi untuk model itu. Jadi, pelanggan boleh menempah pilihan rim Cayenne Exclusive Design bersaiz 21 inci dan rim Sport Design berukuran 22 inci.

Bukan itu sahaja, beberapa aksesori gaya hidup Porsche Tequipment seperti sistem hiburan untuk tempat duduk belakang yang mampu meningkatkan pengalaman pelanggan ketika berada di dalam Cayenne baharu turut ditawarkan.

Antaranya termasuklah khemah bumbung dan kotak bumbung berprestasi, rak letak basikal di bahagian belakang serta banyak lagi.

Jentera itu hadir dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan kelabu metalik bersama pilihan tona hitam dan kulit merah untuk ruang dalaman.

Ditawarkan pada harga bermula RM599,999 Cayenne CKD sudah boleh ditempah menerusi platform digital di pautan mycayenne.online. Lebih menarik lagi, 250 tempahan pertama akan menerima kunci yang sama dengan warna badan kereta.

GALERI:

Google ads
Back to top button