
ENJIN SKYACTIV-X BUKAN LAGI PILIHAN, BAKAL DIHENTIKAN PRODUKSI
Selepas dilancarkan pada 2019, enjin Skyactiv-X menjadi pilihan kegemaran tetapi media Jepun baru-baru ini melaporkan bahawa enjin berkenaan tidaklah begitu popular kerana ia memakan kos begitu tinggi.
Selepas berada di pasaran sekitar empat tahun, enjin ini hanya digunakan pada model seperti Mazda3 dan CX-30 serta 3.0L e-Skyactiv-X pada CX-60.
Menurut data dikeluarkan oleh media Jepun, sebelum ini terdapat 10 peratus pengguna memilih enjin Skyactiv-X namun, ia kini menurun sehingga lima peratus.

Enjin tersebut dikatakan menggunakan banyak teknologi baharu sehingga mengakibatkan kos menjadi semakin tinggi, sekali gus menyebabkan harga kereta baharu lebih mahal berbanding model dilengkapi enjin Skyactiv-G.
Selain itu, pasaran jualannya juga agak terhad kerana ia mempunyai keperluan yang sangat tinggi untuk petrol.
Untuk makluman, ia mesti menggunakan petrol RON 95 dan ke atas (sesetengah pasaran masih menggunakan bahan api RON 92) selain, mempunyai keperluan untuk kualiti petrol, iaitu petrol Euro 4M atau ke atas.

Apabila enjin ini dikeluarkan pada 2019, hanya beberapa pasaran yang memenuhi gred Euro 4M iaitu Eropah, Amerika dan Jepun. Oleh itu, perkara berkenaan mengehadkan lagi jualan globalnya.
Dengan segala pernyataan di atas, boleh difahami bahawa Mazda mahu menghentikan Skyactiv-X, di mana ia tidak begitu popular dan sukar untuk mengaut keuntungan.
Sesuai perancangannya, Mazda kini memberi fokus kepada pembangunan model baharu berasaskan pacuan roda belakang baharu dan enjin turbo enam silinder sebaris 3.3L Skyactiv-G. – Automachi









