Buletin

PORSCHE MACAN ELEKTRIK MULA JALANI UJIAN DALAM DUNIA SEBENAR. BAKAL LANCAR TAHUN 2023

Porsche Macan elektrik sepenuhnya dilapor sudah bersedia untuk diuji di atas jalan raya selepas kelibat jentera yang sarat dengan pelekat penyamaran itu meninggallan Pusat Pembangunan Porsche di Weissach, Jerman buat pertama kalinya. 

“Ujian dalam persekitaran dunia sebenar kini sedang dijalankan. Ia merupakan satu pencapaian paling penting dalam proses pembangunan,” kata Ahli Lembaga Eksekutif Penyelidkan dan Pembangunan di Porsche AG, Michael Steiner. 

Apabila Macan elektrik dilancarkan pada 2023, ia sudahpun menjalani ujian sejauh tiga juta kilometer dalam pelbagai kondisi cuaca di seluruh dunia. 

Pembangunan dan ujian secara digital nyata menjimatkan masa dan kos. Selain kenderaan sebenar, pasukan jurutera turut menggunakan prototaip digital yang meniru sistem dan unit kuasa kenderaan untuk mendapatkan data dengan ketepatan lebih tinggi. 

Terdapat 20 prototaip digital digunakan dalam pelbagai peringkat pembangunan. Antaranya aspek aerodinamik, pengurusan tenaga, operasi dan akustik. Prototaip maya itu boleh digabungkan dengan kondisi dunia sebenar pada peringkat awal. 

Antara contoh terbaik ialah pembangunan paparan dan konsep operasi serba baharu untuk generasi terkini Macan. Menggunakan sebuah kotak tempat duduk untuk menghasilkan persekitaran pemandu, paparan dan konsep operasi itu boleh dihasilkan. 

“Simulasi ini membolehkan kami menilai aspek paparan, prosedur operasi dan perubahan sepanjang perjalanan berdasarkan kepada sudut pandang pemandu,” jelas Fabian Klausmann daripada Jabatan Pembangunan Pengalaman Pemandu Porsche. 

Akhirnya, prototaip fizikal pertama Macan elektrik dibina berdasarkan kepada data yang diperoleh daripada simulasi-simulasi tersebut. Ujian ketahanan di kemudahan tertutup dan jalan raya awam dalam dunia sebenar  dilakukan bagi memastikan struktur, kestabilan operasi dan ketahanan perkakasan serta perisian kenderaan mampu memenuhi standard tinggi Porsche. 

Sama seperti Taycan, Macan elektrik akan menawarkan Porsche E-Performance dengan seni binaan berkuasa 800 volt. 

Menjadi model pertama Porsche yang menggunakan Premium Platform Electric (PPE), Macan generasi baharu juga akan ditawarkan dengan enjin biasa. Ia bagi memenuhi keperluan pengguna di pasaran berbeza.

Google ads
Back to top button