
PRESTASI HAMBAR, MERCEDES BINA SEMULA JENTERA F1
Pasukan Mercedes mengambil keputusan untuk membina semula jentera terbaik mereka selepas mempamer aksi hambar pada aksi pembukaan Formula Satu (F1) di Grand Prix (GP) Bahrain.
Prinsipal pasukan, Toto Wolff menyifatkan mereka gagal bertanding untuk gelaran dunia selepas jentera W13 serba tidak menjadi dan ketinggalan agak jauh meskipun Lewis Hamilton berjaya menaiki podium tempat ketiga.
Ferrari melakukan kejutan apabila meraih kemenangan 1-2 menerusi Charles Leclerc dan Carlos Sainz, sementara Hamilton di kedudukan ketiga selepas Max Verstappen (Red Bull) berdepan masalah pada baki tiga pusingan terakhir.
Wolff berharap pasukanya dapat menyelesaikan beberapa masalah terutama melibatkan isu downforce sebelum bermulanya perlumbaan pusingan kedua di Jeddah hujung minggu ini.
“Masalah utama ketika di laluan lurus dan Hamilton tidak dapat memecut lebih laju, jadi kami perlu membuat penilaian selepas beberapa perlumbaan untuk melihat keseluruhan masalah yang ada pada jentera,” kata Wolff.
Mercedes dikatakan berdepan masalah aerodinamik pada jentera W13 dan tidak stabil ketika memecut di laluan lurus hingga berlaku lantunan sehingga timbulnya masalah seretan selain isu cengkaman tayar.
Sementara itu, Hamilton mengambil pendekatan positif walaupun sedar pasukannya berdepan masalah dan berharap Mercedes berjaya menemui beberapa peningkatan menjelang perlumbaan di Jeddah nanti.
“Ferrari dan Red Bull sangat laju di laluan lurus, manakala prestasi mereka di selekoh sangat berbeza dengan Mercedes.
“Saya berharap dalam perlumbaan seterusnya kami berjaya menemui beberapa penambahbaikan,” kata Hamilton. – UTUSAN
- BACA: MERCEDES-BENZ EQA 250 TIBA DI MALAYSIA. 190HP, 426KM SEKALI CAJ, BERMULA RM278K
- BACA: BELAJAR MEMANDU GUNA MERCEDES-BENZ G-WAGON. KOS KURSUS MEMANDU BANGSAWAN BERMULA RM33,568!!!
- BACA: VETTEL, VERSTAPPEN TIDAK MAHU TERLIBAT DALAM F1 RUSIA
- BACA: BERAPA BINTANG JENTERA F1 DAPAT DARI UJIAN KEMALANGAN NCAP?