Artikel PilihanBuletin

PRODUKSI MERCEDES DI INDIA TERJEJAS KERANA SEEKOR HARIMAU BINTANG – BESAR MASALAH NI

Berita tentang pengeluaran terjejas memang kerap kedengaran sekarang kan? Kekurangan bekalan cip telah menjejaskan pemasangan kereta-kereta moden menyebabkan pelanggan menerima kereta lebih lambat daripada tempoh yang sepatutnya. Terbaru ialah kilang pemasangan Mercedes-Benz di Chakan, India yang juga terpaksa menghentikan operasi selama beberapa jam.

Menariknya, operasi kilang terhenti bukan sebab kekurangan bekalan cip ataupun jualan yang kurang memuaskan. Alasan kali ini mungkin kali pertama kita dengar dan belum pernah lagi berlaku di mana-mana kilang pemasangan kereta di atas muka bumi ni.

Harimau bintang. Benar wahai bangsa Mekanika sekelian, seekor harimau bintang didapati telah menceroboh dan merayau-rayau di dalam bangunan kilang selama beberapa jam. Ia menyebabkan situasi panik tapi masih dalam kawalan. Nasib baik la tak ada pekerja yang memandai untuk menyelesaikan masalah dengan tangan sendiri.

Operasi menyelamat dan mengeluarkan harimau bintang tersebut dilaksanakan oleh pihak Jabatan Hidup dan Hidupan Liar Chakan. Mereka menemui harimau bintang tersebut sedang melepak di celah-celah palet komponen kenderaan sebelum menembaknya dengan ubat penenang. Alah  macam korang yang kerja kilang lepas tu curi-curi hisap vape celah palet. Nasib baik bos tak tembak dengan ubat penenang sekali.

Operasi memindahkan harimau bintang muda berusia 3 tahun itu berjaya diselesaikan dalam masa 4 jam dan ia diletakkan dalam pemerhatian sebelum dilepaskan kembali ke habitat asal.

Walaupun berita macam ini kedengaran menarik tapi ia juga menandakan yang habitat asal harimau bintang ini telah pun terusik atas nama pembangunan. Kilang Mercedes ini sendiri pun memang terletak berhampiran dengan hutan simpan yang menjadi habitat populasi harimau bintang yang terbesar di dunia.

Dengan kata lain insiden seperti ini mungkin akan berulang tapi tahulah nanti diorang nak buat macam mana. Tapi menariknya tak ada pulak ahli politik dan jabatan berkaitan di India yang beri kenyataan merapu seperti ‘Kilang Kereta Ini Sebenarnya Baik Untuk Populasi Harimau’.

Walaupun bunyi macam kilang pendalaman tapi sebenarnya kilang di Chakan ini banyak menghasilkan model-model seperti C-Class, E-Class, S-Class dan CLA Coupe. Itu belum campur GLA, GLC, GLE dan GLS Crossover. Canggih punya kilang ooo.

Google ads
Back to top button