Buletin

PROTON CATAT JUALAN EKSPORT TERTINGGI DALAM TEMPOH 98 BULAN

PROTON Holdings Bhd (PROTON) mencatatkan pertumbuhan jualan eksport pada Mei 2021 sebanyak 669 unit.

Ia merupakan jumlah tertinggi sejak Mac 2013.

Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xu, berkata sehingga akhir Mei, jumlah jualan eksport naik sebanyak 174 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan.

Beliau berkata, jualan pada bulan itu juga hanya kurang 6 peratus berbanding jumlah keseluruhan jualan eksport pada 2020.

“Peningkatan jualan eksport PROTON dipengaruhi oleh permintaan di pasaran tertentu, dengan sebahagiannya adalah pasaran baru.

“Pakistan adalah pasaran baru tetapi dalam tempoh lima bulan pertama 2021, ia menjadi pasaran eksport yang terbaik.

“Dalam masa sama, Brunei yang menjual kereta PROTON sejak 1987, menduduki tempat ketiga dari segi jualan tahun ini dan pada Mei.

“Pengedar kereta Proton di Mesir juga mencatatkan jualan sebanyak 350 unit tahun ini, menduduki tempat kedua terbesar bagi pasaran eksport PROTON,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Xu menjelaskan, perancangan kumpulan bagi 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport PROTON secara agresif.

Beliau berkata, kumpulan optimis dapat mencapai sasaran walaupun terdapat kekangan antarabangsa dan peningkatan kos penghantaran akibat pandemik Covid-19.

Ia berdasarkan pelan jualan daripada pengimport dan kelebihan yang ada pada produk PROTON.

“Namun selepas lima bulan, PROTON hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran. Ia dijangka akan menjadi kejayaan yang berterusan,” ujarnya.

Xu berkata, dengan pertumbuhan jualan domestik yang meningkat, pemasangan model PROTON di pasaran eksport juga penting bagi memastikan kumpulan mampu mencapai sasaran jangka masa panjang.

Beliau berkata, Pakistan juga akan memulakan pemasangan tempatan berikutan permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya.

Rakan kongsi PROTON di Pakistan, Al-Haj Automotive katanya akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir Julai atau awal Ogos di kilang baharu mereka di Karachi.

Selepas itu katanya, pemasangan Proton X70 akan dijalankan sebagai tambahan kepada barisan pemasangan.

“Kami menaruh harapan tinggi yang mana perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di Asia Selatan,” katanya.

Google ads
Back to top button