Motosikal

SLOT MOTOGP MENANTI DAMOK MUSIM DEPAN?

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali bersedia mengotakan janjinya untuk memberi slot kepada pelumba negara bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada musim depan.

Razlan berkata, beliau teruja melihat prestasi pelumba muda negara, Syarifuddin Azman yang mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol kelmarin.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok bermula di petak ke-10 melakukan kejutan muncul juara dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat selepas bijak mengambil peluang memintas pelumba lain di pusingan terakhir.

“Damok sudah matang dari segi tunggangannya selepas dua tahun ber­saing dalam perlumbaan CEV.

“Dia juga berada dalam pasukan yang bagus dan turut berjaya meletakkan diri di posisi yang tepat pada perlumbaan itu,” katanya.

Razlan menambah, pada perlumbaan tersebut, Damok begitu baik mengendali jentera dan bersabar sebelum mengintai peluang sehingga muncul juara.

Katanya, ia merupakan hasil yang baik dipamerkan Damok bersaing dalam saingan kompetitif.

“Seperti saya kata sebelum ini, bila mereka mempamerkan keputusan baik sudah pasti peluang mereka untuk menyertai ke SRT amat cerah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan pasukan.

“Semua tahu saingan di CEV adalah perlumbaan yang kompetitif.

“Justeru, peluang Damok ke Moto3 bersama SRT amat cerah dan saya harap dia terus berdisiplin meneruskan aksi terbaik seperti ini sehingga akhir musim,” katanya. – Kosmo!

Google ads
Back to top button