,
Buletin

PROTON CATAT PEGANGAN PASARAN TERTINGGI SEJAK 2015!

Selepas mencatatkan jualan yang tinggi pada bulan Mei, PROTON meneruskan momentum kenaikan jualan pada tahun 2019 dengan mencatatkan jumlah pegangan pasaran tertinggi sejak Julai 2015.

Jualan sebanyak 7,615 unit pada bulan Jun adalah angka kedua tertinggi yang dicatatkan oleh Syarikat pada tahun ini, menjadikan pegangan sebanyak 18.1% daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan apabila Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8% iaitu 42,090 unit.

Seperti kebiasaannya dalam penjualan kenderaan di Malaysia, akan terdapat penurunan pada jumlah penjualan bagi bulan selepas bulan perayaan.

Bulan Jun tidak terkecuali kerana adanya cuti sempena Hari Raya Aidilfitri diikuti dengan keadaan jualan tidak memberangsangkan. Selain itu, pada bulan Jun 2018 juga merupakan bulan pertama bagi tempoh jualan tanpa cukai GST, menjadikannya sukar bagi kebanyakan jenama automotif untuk mencatat jumlah pertumbuhan jualan tahun ke tahun yang positif.

Walau bagaimanapun, PROTON mencatatkan trend apabila jualan meningkat sebanyak 23% berbanding Jun tahun lalu, yang telah membantu Proton mendapat kedudukan kedua dalam carta jualan untuk bulan ketiga berturut-turut.

Jumlah ini telah menyumbangkan kepada pertumbuhan jualan keseluruhan sebanyak 61% untuk enam bulan pertama tahun 2019, meletakkan Syarikat di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualannya untuk tahun ini.

Secara individu, Proton X70 terus menjadi salah satu produk PROTON paling popular. Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit telah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen SUV disamping telah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris.

Model Proton yang lain turut mencatatkan jualan yang baik. Jualan Proton Saga terus berkembang dengan sebanyak 2,541 unit diserahkan pada bulan Jun, menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan sebanyak 27% berbanding enam bulan pertama tahun 2018.

Model-model lain, yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar menunjukkan prestasi baik dengan tempahan untuk Proton Persona, Iriz dan Exora 2019 meningkat masing-masing sebanyak 108%, 180% dan 135% berbanding jumlah tempahan model semasa.

“Dengan mencapai pegangan pasaran sebanyak 18.1% pada bulan Jun, PROTON terus menunjukkan pertumbuhan jualan yang positif bagi tahun ini meskipun keadaan pasaran yang sukar untuk jualan berikutan cuti Hari Raya.

Pegangan pasaran setakat tahun ini pada masa kini berada pada 14.7% dan merupakan peningkatan yang besar pada angka 2018 iaitu sebanyak 10.8%. Bagi separuh kedua tahun ini, kami akan menumpukan kepada peningkatan jualan dan memberikan lebih keterujaan kepada pasaran dengan memperkenalkan model-model baharu dan yang ditambahbaik seperti dijanjikan pada awal tahun ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Tags
Google ads
Back to top button