Buletin

PROTON EKSPORT SAGA KE KENYA. BAKAL CKD DI SANA OLEH SIMBA

PROTON menambah satu lagi negara baharu dalam senarai eksportnya apabila menghantar kereta keluarannya ke Kenya buat pertama kali baru-baru ini. 

Sebanyak 30 buah Proton Saga dihantar secara CKD (pemasagan tempatan) dan akan dipasang oleh syarikat Simba, sebuah konglomerat pelbagai perniagaan yang mempunyai sejarah panjang dalam penjualan dan pengalaman pemasangan dalam industri automotif.

Pemasangan kereta Proton dilihat akan merancakkan aktiviti pemasangan kenderaan di Kenya. PROTON membuat keputusan untuk mengeksport Saga secara CKD setelah rundingan terperinci bersama rakan kongsi di Kenya, Simba. 

Selain cukai yang lebih rendah, unit CKD juga dijangka dapat memacu industri automotif Kenya.

“PROTON akan tetap mengukuhkan kedudukannya di pasaran domestik. Pada masa yang sama kami ingin dikenali sebagai pengeluar kenderaan antarabangsa. Jadi, produk PROTON perlu berada di bandar-bandar lain seperti Bangkok, Islamabad, Cairo dan kini, Nairobi. 

“Usaha ini akan meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Kenya. Selain menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan di Kenya,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Radzaif Mohamed. 

Turut hadir pada majlis pelepasan ialah Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Francis N. Muhoro.

Dalam ucapannya, Muhoro menerangkan dasar pandang ke Timur yang diamalkan oleh Kenya dan berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan meneroka peluang pelaburan di Kenya.

“PROTON bukan saja menjejak ke negara dengan populasi 51 juta orang, malah merupakan pintu masuk ke benua Afrika yang mempunyai pasaran berpotensi seramai 1.3 bilion orang.

“Saya harap usaha ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak perdagangan di antara Kenya dan Malaysia,” kata Muhoro. 

Google ads
Back to top button